Putrajaya,
19 Jun – Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya pada 23 Jun ini,
sama ada membenarkan atau tidak, permohonan kebenaran merayu oleh Gereja
Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan
‘The Herald’ daripada menggunakan kalimah ‘ALLAH’, dalam versi bahasa Malaysia
terbitannya.
Peguam
S.Selvarajah, yang mewakili gereja itu, ketika dihubungi Bernama berkata beliau
menerima sepucuk surat daripada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Nor
Aziati Jaafar petang semalam untuk memaklumkan tentang penetapan tarikh pada 23
Jun itu.
Peguam
Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili kerajaan dalam kes itu,
mengesahkan tarikh berkenaan dan berkata Jabatan Peguam Negara turut menerima
surat daripada pendaftar mahkamah.
Pada 5
Mac, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mempengerusikan panel tujuh anggota
terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar
Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri
Richard Malanjum, dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi
Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha mendengar
penghujahan daripada kedua-dua pihak.
Gereja
itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya
terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober tahun lepas yang melarang
penggunaan kalimah ALLAH dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.
Pada
31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang
membenarkan The Herald untuk menggunakan kalimah ALLAH selepas Mahkamah Tinggi
mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan
itu daripada menggunakan kalimah ALLAH adalah menyalahi undang-undang, batal
dan tidak sah.
Pada
2009, gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan
permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan
kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan
kementerian melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald
adalah tidak sah.
Majalah
mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah ALLAH
untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutamanya bagi
memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.
Mengikut
Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih
dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan dalam usaha membawa
rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di
Malaysia.
Mahkamah
Persekutuan, perlu memuaskan Mahkamah Persekutuan bahawa terdapat persoalan
undang-undang melibatkan kepentingan awam yang turut mengandungi persoalan
tentang prinsip umum yang belum pernah diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah
Persekutuan, yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Apabila
Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang
dikemukakan pemohon telah memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan
kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.
Jika
Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak memberi kebenaran merayu kepada
gereja, keputusan Mahkamah Rayuan tetap terpakai dan gereja tidak boleh lagi
mengemukakan rayuan.
Sumber–
BERNAMA