Kalimah "Allah": Persekutuan Kristian Malaysia Cuba Cetus Provokasi Pertama?

Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) hari ini menggemparkan seluruh umat Islam di Malaysia apabila membuat keputusan untuk terus menggunakan kalimah "Allah" walaupun Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak rayuan akhbar mingguan, The Herald, hari ini.

Presiden CFM, Reverand Dr Eu Hong Seng berkata, pihak Kristian sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan mendakwa terdapat kelemahan dalam penghakiman yang lalu.

"Persekutuan Kristian Malaysia secara semula jadi sangat kecewa bahawa Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran untuk Gereja Roman Katolik untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes The Herald.

"Kami terus mengekalkan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan dan hujah dalam membuat keputusannya, begitu kritikal di mana terdapat kecacatan di dalam banyak aspek," kata Ketua Paderi itu hari ini.

Justeru itu, Eu menegaskan bahawa para penganut Kristian di Malaysia akan tetap menggunakan kalimah "Allah" dalam aktiviti keagamaan mereka sambil menyifatkan keputusan tersebut hanya terhad dalam kes tertentu yang melibatkan The Herald sahaja.

"Memandangkan keengganan untuk memberikan kebenaran merayu kepada Gereja Roman Katolik, kita akan meneruskan tindakan dan aktiviti kita, menganggap keputusan Mahkamah Rayuan terhad kepada fakta kes tertentu saja," katanya yang disifatkan bakal mencetus kontroversi hangat selepas ini.

Eu juga menyatakan bahawa para penganut Kristian di Malaysia mempunyai hak untuk meneruskan penggunaan kalimah tersebut tanpa sebarang halangan dari mana-mana pihak.

"Masyarakat Kristian mempunyai hak untuk terus menggunakan perkataan Allah di dalam Al-Kitab, ibadah gereja dan perhimpunan Kristian dalam jemaah Bahasa Malaysia kami, seperti yang kita lakukan sebelum ini," katanya.

Eu menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini telah memberikan kesan negatif terhadap hak kebebasan beragama penganut Kristian di negara ini.

"Ia beri kesan negatif yang serius terhadap kebebasan beragama bagi masyarakat Kristian di Malaysia adalah berpunca daripada seluruh pernyataan dan pemerhatian.

"Tapi malangnya Gereja Roman Katolik dinafikan peluang untuk mencabar pernyataan dan permerhatian begitu di mahkamah tertinggi," katanya yang dipetik dari sumber, The Malaysian Insider.

Mahkamah Persekutuan hari ini dilapor telah memutuskan untuk tidak membenarkan rayuan pihak gereja selepas empat daripada tiga panel hakim bersetuju menolak rayuan penggunaan kalimah Allah.

Panel hakim secara jelas menolak sepenuhnya permohonan gereja untuk merayu, dengan menegaskan bahawa Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang tepat untuk melarang penggunaan kalimah tersebut dalam terbitan mingguan Katolik, The Herald.

Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria yang mengetuai semua panel tujuh hakim itu berkata, Presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif, Ketua Hakim Malaya Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar sependapat dengan keputusan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa supaya gereja Katolik menghormati keputusan mahkamah dengan tidak mencetus sebarang tindakan atau kenyataan provokasi yang dilihat menentang keputusan mahkamah itu.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman memberi amaran bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan untuk tidak membenarkan rayuan gereja untuk menggunakan kalimah Allah bertepatan dengan maqasid syariah demi menjaga kedaulatan Islam di Malaysia.

“Saya menyeru pihak gereja menerima keputusan dengan senang hati.

"Elakkan apa-apa kenyataan, tindakan provokasi atau mencabar keputusan mahkamah serta perlu mengutamakan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini,” katanya yang dipetik dari sumber yang sama. -KedahNews.com