Kuala
Lumpur, 22 Jun – Juruterbang Pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370, Kapten
Zaharie Ahmad Shah, 53, telah dilaporkan menjadi suspek utama kehilangan
pesawat itu setelah siasatan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurut
laporan akhbar Sunday Times.
.
Menurut
kenyataan yang dikeluarkan Sunday Times, siasatan pihak polis terhadap Kapten
Zaharie menunjukkan juruterbang tersebut tidak melakukan sebarang persediaan seperti
anak kapal yang lain sebelum berlepas ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Selain itu, laporan akhbar itu
mendakwa siasatan yang dijalankan ke atas Simulator Penerbangan milik
juruterbang itu mengandungi maklumat yang telah diprogramkan oleh Kapten
Zaharie dengan latihan penerbangan jauh ke Selatan Lautan Hindi dan mendarat ke
sebuah landasan pendek di sebuah pulau di sana.
Merujuk analisis yang dijalankan ke
atas simulator sebelum ini, Sunday Times dalam kenyataan itu berkata, program
latihan yang sebelum ini tidak ditemui disebabkan oleh data tersebut telah
dipadam oleh Kapten Zaharie sebelum seorang pakar computer berjaya mengesan
maklumat itu kembali.
KedahNews.com tidak dapat
mengesahkan mengenai kesahihan laporan yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut
tetapi sekiranya dakwaan ini benar diharap pihak PDRM akan mengeluarkan kenyataan
rasmi berhubung maklumat mengenai kehilangan pesawat itu.
Pesawat
MH370 hilang pada 8 Mac dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur, Malaysia ke
Beijing, China. Terdapat 239 penumpang dan krew di dalam pesawat itu. Sehingga
kini, pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui.-KedahNews.com/Mohd Shahir
Shukor