Kedudukan MB Selangor Akan Diputuskan Selepas PR Bermesyuarat - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang keputusan perlu dibuat secara bersama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Jun, 2014.

Puchong, 22 Jun – Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor hanya akan diputuskan selepas ahli pakatan rakyat mengadakan mensyuarat tidak lama lagi.

Keputusan untuk mengekal atau merubah pentadbiran Negeri Selangor pada masa hadapan hanya akan dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada ketiga-tiga pemimpin parti di dalam Pakatan Rakyat setelah mereka bermesyuarat nanti.

Menurut Anwar lagi, perkara ini perlu dibincang terlebih oleh Ketua Parti Pas, DAP, dan Keadilan secara bersama sebelum membawa perkara ini ke Istana untuk mendapat perkenan  Sultan Selangor.

"Itu bukan kenyataan rasmi. Keputusan mengekal atau membuat perubahan dibuat secara perbincangan keputusan PR dengan perkenan Tuanku.

"Jadi bukan keputusan daripada yang kita dengar melalui desas-desus," katanya kepada media selepas berucap mengenai Asian Renaissance di Puchong, semalam.

Anwar berkata demikian setelah ditanya oleh media berhubung desakan beberapa pemimpin  Pas dan  DAP yang mahu jawatan Menteri Besar Selangor ditukar setelah mereka tidak berpuas hati dengan cara Abdul Khalid mentadbir negeri itu yang dilihat akan menyebabkan PR tewas dalam Pilihan Raya (PRU) ke-14 nanti.

“Mereka lahirkan pandangan mereka berdasarkan beberapa pekembangan baru. Kita tengok, kita bincang dan kita akan putuskan,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti di dalam pakatan rakyat bertindak mengritik kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir Negeri Selangor yang menyebabkan berlaku pelbagai masalah di dalam negeri tersebut dan mahu PR mengugurkannya sebagai Menteri Besar Selangor. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor