Kejam : Remaja OKU Dikurung Seperti Mayat Hidup Oleh Ibu Sendiri


Nilai, 22 Jun – Jabatan Imigresen  Negeri Sembilan terkejut apabila menjumpai seorang remaja lelaki kurang upaya (OKU) yang dipercayai telah dikurung oleh ibunya dalam satu operasi memburu pendatang tanpa izin (PATI) di sini semalam.

Remaja yang berusia 15 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak terurus dengan badannya kelihatan sangat kurus seolah-olah seperti mayat hidup.

Difahamkan, baju yang dipakai mangsa didapati telah mereput akibat sudah terlalu lama bercampur dengan sisa air kencing dan najisnya sendiri selama berada di situ.

Bilik itu juga seolah-olah sengaja diletakkan tanah di bahagian lantai  sebagai tempat mangsa membuang najis. Apa yang KedahNews.com dapat katakana, bilik kurungan mangsa tidak ubah seperti sangkar kucing.

Pengarah Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya tidak menyangka akan menemui remaja tersebut kerana tujuan asal penguatkuasa adalah menjalankan serbuan ke atas rumah tersebut yang dipercayai didiami pendatang tanpa izin.

“Remaja itu kemudianya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Ibu kepada kanak-kanak lelaki berkenaan juga telah dikesan dan kes tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi tindakan selanjutnya,” katanya kepada media semalam.

Sementara itu, merujuk kepada pemeriksaan yang telah dijalankan kepada remaja tersebut,keadaannya dilaporkan stabil dan kini dirawat di HTSJ sebelum dihantar ke JKM.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga,Dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya sudah menerima laporan mengenai penemuan remaja itu dan kes ini sedang disiasat bagi mengenalpasti punca sebenar remaja berkenaan dikurung oleh ibunya.


Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor