Kenderaan 100% Terbakar, Nasib Baik Pemandu Selamat...

Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran pada kenderaan berkenaan dalam tempoh tujuh minit.

Seremban, 16 Jun – Seorang lelaki cemas apabila kenderaan jenis Perodua Kembara miliknya tiba-tiba terbakar di Plaza Tol Setul, Lebuhraya Seremban (Lekas) arah ke Nilai di sini semalam.

Pengawai Bomba Kanan Dua, N Sundram berkata, mereka menerima laporan pada jam 5.00 petang dan terus bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima aduan.

“Sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan ke lokasi dan setibanya di tempat kejadian, kita dapati kenderaan terbabit sudah terbakar seratus peratus.

“Kita mengambil masa lebih kurang empat minit untuk mengawal kebakaran tersebut, sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira tujuh minit kemudian,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Menurut N.Sundram, pemandu kenderaan bernasib baik kerana sempat melarikan diri setelah menyedari asap keluar daripada bahagian depan kenderaan.

“Dipercayai mangsa yang sedang memandu seorang diri telah berhenti serta merta di bahu jalan selepas menyedari bahagian depan kenderaan mengeluarkan asap.

“Setakat ini, jumlah kerugian masih belum diketahui berikutan punca kebakaran masih dalam siasatan,”katanya. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor