Kerajaan Negeri Kedah Tekad Bantu Belia India - @MukhrizMahathir



Alor Setar, 5 Jun – Kerajaan Negeri Kedia sedia bekerjasama dengan Yayasan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) bagi membantu melaksanakan beberapa projek bagi membantu masyarakat kaum India di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan program yang bakal mereka laksanakan ini dapat membantu kaum India terutamanya golongan belia dalam menjana pendapatan di kalangan masyakat ini.

"Kerajaan negeri akan membantu sedaya yang boleh dan memang menjadi hasrat (kerajaan negeri) untuk membuka peluang seluas-luasnya kepada semua pihak terutamnya di kalangan masyarakat India di Kedah.

"Saya dapati apa yang dihasratkan itu iaitu untuk meningkatkan kemahiran dan melibatkan diri dalam sektor pertanian, tentu akan membantu masyarakat belia India untuk menjana pendapatan sendiri dan menyumbang balik kepada pembangunan negeri," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Saravanan di sini semalam.

Pengasas yang juga merupakan Presiden NAAM, Dato' Saravanan meletakkan sasaran golongan kaum India  yang bakal menyertai persatuan itu di negeri ini bakal mencecah 10,000 anggota dalam tempoh lima tahun.

"Setakat ini di Kedah ada 3,000 keahlian. Untuk projek perintis, kita akan lakukan projek tanaman cili kerana ia dapat memberi pulangan dalam tempoh yang singkat iaitu tiga atau empat bulan.

"Kita juga pilih cili kerana ia mempunyai pasaran yang luas dan (mudah) dari segi logistik.

"Apabila lihat hasil pulangan cili ini, mungkin mereka akan menghasilkan produk lain pula," kata Saravanan.

Setiap projek perintis yang dirancang bersama Kerajaan Negeri Kedah dijadualkan akan bermula Julai ini.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor
.