Kerajaan Tegas Malaysia Bukan Negara Sekular!


Kuala Lumpur - Pihak Kerajaan menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular sebagaimana yang diwar-warkan oleh sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat sebelum ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam kenyataan bertulis menjawab soalan di Dewan Rakyat sekali lagi menegaskan fakta sejarah jelas membuktikan Malaysia bukan negara sekular.

Menurut beliau, bukti fakta sejarah sejelas-jelasnya menunjukkan Malaysia ditubuhkan berasaskan Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

"Ini diperkukuhkan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan.

"Tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan," katanya semalam.

Soalan berkaitan hal itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen (DAP) Sibu, Ling Chai Yee, yang bertanya sama ada hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mempersoal sama ada Kerajaan Pusat turut bercadang melaksanakan undang-undang Islam itu.

Turut ditanya di dalam soalan tersebut ialah sama ada Malaysia merupakan sebuah negara Islam atau sekular.

Mengulas lanjut mengenai isu hukum hudud yang ditanya, Jamil Khir berkata, berdasarkan Fasal (2) Perkara 74 dan Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri masing-masing,

Menurutnya lagi, kuasa negeri berkenaan tertakluk pada kewujudan dan penghukuman kesalahan terhadap perintah agama Islam hanya terpakai kepada penganutnya dan setakat yang dibenarkan oleh Undang-Undang Persekutuan sahaja.

"Kerajaan sedia maklum mengenai hasrat Kelantan untuk laksanakan hudud.

"Oleh itu sebelum hasrat berkenaan dapat dilaksanakan, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedang berkuat-kuasa," jelasnya. -KedahNews.com