Kerana Politik, Kepentingan Islam Semakin Terancam Di Selangor...

Berselang untuk beberapa hari lagi, seluruh umat Islam akan menyambut kehadiran bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan Al-Mubarak. Menyedihkan, kedatangan Ramadhan kali ini menyaksikan kepentingan Islam semakin terancam di negeri Selangor.

Baru-baru ini, timbul ura-ura dan desakan dari pemimpin politik yang disifatkan "lebih sekular dari sekular" yang berhasrat mahu kuasa eksekutif  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dimansuhkan secara muktamad.

Persoalannya, wajarkah kuasa eksekutif  MAIS dalam menguatkuasakan hal ehwal agama Islam di negeri itu dimansuhkan?

Persoalan ini sudah tentu menimbulkan banyak tanda tanya kepada umat Islam malah menimbulkan kegelisahan apabila kuasa eksekutif MAIS yang berperanan sebagai pentadbir dan pendaulat agama Islam di Selangor ‘dikuburkan’ demi laba politik pihak berkepentingan.

Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa serangan terhadap agama Islam kebelakangan ini merupakan perancangan licik pihak tertentu yang dizahirkan melalui umat Islam sendiri mahupun bukan Islam.

Pada 17 Jun lepas, empat Anggota Parlimen PAS iaitu Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Hanipa Maidin (Sepang) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) menggesa Kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS.



Cadangan itu bagi memastikan kerajaan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak lagi perlu menerima arahan daripada MAIS berhubung penguatkuasaan hal ehwal agama Islam di negeri itu, sekali gus mengelakkan kecelaruan pentadbiran kerajaan Selangor.

Mengulas perkara ini, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fadlan Mohd Othman menyifatkan cadangan untuk memansuhkan kuasa eksekutif MAIS adalah sesuatu yang dangkal.

“Mereka yang mahu peranan MAIS dihadkan jelas tidak matang dan ia akan menyebabkan penguatkuasaan hal ehwal agama Islam di Selangor menjadi lemah,” katanya kepada Bernama.
Fadlan menegaskan bahawa dalam soal menguatkuasakan hal ehwal agama Islam, MAIS sebagai satu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah satu badan berkredibiliti dan segala langkah yang dilaksanakannya bertujuan memastikan kemaslahatan umat Islam sentiasa dipelihara.

Adalah tidak wajar dan kurang bijak ‘mencuit’ MAIS kerana badan itu berkait rapat dengan kuasa Sultan, katanya.

MAIS ditubuhkan di bawah Seksyen 5, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1952, mempunyai kuasa-kuasa yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1952 dan tambahan kuasa mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Antara fungsi utama MAIS ialah menasihati Sultan dalam hal ehwal Islam.

Tidakkah cadangan menghapuskan kuasa eksekutif MAIS ini boleh ditafsirkan sebagai penghinaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah?

Fadlan berkata dalam isu ini, terdapat dua perspektif iaitu melihat cadangan tersebut sebagai satu penghinaan kepada sultan atau pun sebagai hak asasi untuk bersuara oleh mana-mana individu.

“Daripada satu sudut, ia boleh dikatakan sebagai satu penghinaan kepada sultan dan daripada satu sudut pula dalam sebuah negara demokrasi mereka menyatakan ini sebagai kebebasan bersuara.

“Kalau pun boleh dikatakan sebagai kebebasan bersuara, selaku Yang Berhormat mestilah ada etika atau adab. Saya pun tak tahu apa sebab Yang Berhormat daripada PAS hendak mencadangkan perkara yang tidak matang sebegini,” katanya.

Ironinya, PAS Selangor sehingga kini masih belum memutuskan sebarang ketetapan berhubung cadangan empat Anggota Parlimen parti berkenaan.

Fadlan, yang juga Pengerusi Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), berpendapat gesaan agar kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS sebagai satu usaha untuk memperkecil dan menghakis kuasa sultan dalam hal berkaitan agama Islam.

Beberapa badan pertubuhan kerajaan seperti Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor dan Pertubuhan Pribumi Perkasa membantah cadangan anggota PAS itu.

Mubarak Selangor berpendirian kedua-dua institusi iaitu MAIS dan JAIS, yang diwujudkan bagi mentadbir dan mendaulatkan agama Islam di Selangor, telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu dengan cemerlang.
“Memandangkan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor, cadangan ini merupakan satu persendaan dan tentangan terhadap kuasa Baginda dan Raja-Raja Melayu.
Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula menyifatkan tuntutan agar dihapuskan kuasa eksektif MAIS akan membuka ruang kepada bukan Islam untuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam.

Cadangan memansuhkan kuasa eksekutif MAIS itu timbul susulan keputusan MAIS tidak bersetuju memulangkan kira-kira 300 kitab Bible versi Bahasa Melayu setelah dirampas JAIS daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lepas.

Pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible itu, sekali gus menutup kes berkenaan. Susulan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada BSM.

MAIS, pada 14 Jun, tidak bersetuju dengan arahan kerajaan Selangor itu dan menjelaskan ia adalah di luar bidang kuasa mereka (kerajaan Selangor).


Sumber asal: BERNAMA