Khalid Tidak Risau Ditolak PAS Selangor

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedikit pun tidak risau dengan dakwaan yang mengatakan pemimpin PAS Selangor itu menolak beliau untuk terus menjadi Menteri Besar di negeri itu.

Menjawab soalan media di dalam satu sidang akhbar siang tadi, Khalid akui bahawa jawatan Menteri Besar yang disandangnya itu "tidak selamat" sebagaimana ketika dia berjawatan di dalam sektor korporat sebelum ini.

"Saya tidak risau tentangnya.

"Jaminan kerjaya saya ini - setahu saya dalam arena politik ini tidak dapat dipastikan seperti sewaktu saya berada dalam sektor korporat," kata Khalid yang dipetik dari laman Malaysiakini.com.

Menteri Besar itu berkata sedemikian sewaktu diminta mengulas laporan yang mendakwa PAS  Selangor menolak kepimpinannya ekorang tidak berpuas hati dengan cara beliau menangani beberapa isu sejak kebelakangan ini.

Dakwaan itu memetik kenyataan seorang pemimpin PAS negeri bukan wakil rakyat yang dilaporkan menegaskan bahawa PAS Selangor kini mahu jawatan Menteri Besar Selangor itu diganti dengan individu lain

Difahamkan sebelum ini bahawa DAP dan PKR dikatakan turut menyuarakan hasrat mahu melihat Khalid "digulingkan" dari jawatan nombor satu di Selangor itu sejak tahun lalu menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke-13.

Pemimpin PAS yang dimaksudkan bagaimanapun menafikan laporan tersebut dan sebaliknya mendakwa, kenyataan itu dibuat menerusi perbualan peribadinya dengan seorang wartawan yang menulis laporan berkenaan. 

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan telah memulakan gerakan "Kajang Move" yang difahamkan bertujuan untuk menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor menjelang Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Bagaimanapun, gerakan yang dicadangkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli itu terpaksa dilupakan apabila Anwar hilang kelayakan sebagai calon PRK Dun Kajang ekoran disahkan bersalah dalam kes liwat yang membabitkan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Khalid dikatakan ketika itu sering "diserang" dan diberi tekanan oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang dilihat sebagai "musuh politik dalaman" Khalid serta mahu Menteri Besar itu meletak jawatan segera atau digantikan. -KedahNews.com