Kisah Pengedar Dadah Terkenal Australia Peluk Islam...

Sydney – Seorang pengedar dadah yang merupakan antara penjenayah terkenal di Australia, yang menghabiskan masa selama lebih 20 tahun di beberapa penjara paling teruk di dunia, akhirnya memilih untuk memeluk Islam.

Martin Garnett, pernah dikenakan hukuman mati di Thailand kerana menyeludup dadah, pernah menjadi sasaran bunuh oleh banduan yang dikenali sebagai `samurai’ dan melancarkan mogok lapar selama sebulan.

Dia memilih untuk memeluk Islam selepas membaca al-Quran dalam penjara di Thailand, iaitu satu-satunya bahan bacaan dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris yang ada di situ.

Selepas menyaksikan banduan dari Pakistan yang bersolat lima waktu, akhirnya Garnett memeluk Islam dan menggunakan nama Amin Mubarak.

“Saya sangkakan saya melalui laluan paling sukar dengan memilih memeluk Islam. Namun saya tidak sangka Islam membuatkan hidup saya menjadi lebih tenang dan saya tidak pernah meninggalkan solat lima waktu.

“Dalam Islam semua orang adalah sama. Tiada perbezaan kulit atau status atau dari mana anda berasal dan agama ini tidak kisah bagaimana teruknya anda sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada Allah sebanyak lima kali sehari kerana masih hidup dan setiap hari adalah amat bernilai,’’ katanya.

Garnett mula-mula ditangkap di Lapangan Terbang Bangkok pada 1993 dengan membawa 4.7 kilogram dan dihukum mati, namun pada 1994, hukuman itu ditukar kepada penjara selama 40 tahun.

Pada 2001 dia disabitkan oleh kerajaan Amerika Syarikat kerana mengedar dadah ke penjara di Indiana dengan kerjasama pengawal penjara di Thailand. Urus niaga dadah itu dilakukan menerusi telefon.

Pada 2011, kerajaan Thailand memberikan keampunan dan dia dipindahkan ke Amerika Syarikat untuk menjalani hukuman penjara selama 52 tahun.

Kemudiannya pada 2012, dia ditukarkan ke penjara di Sydney selepas ibunya berjaya mendapatkan wang sebanyai $20,000 bagi memastikan pertukaran penjara dapat dijalankan.

Kehidupan yang dilalui Garnett turut memberi kesan kepada keluarganya apabila adiknya, Holly yang juga bekas anggota kumpulan pop terkenal di Australia, Euphoria membunuh diri pada 1998.