Semalam telah berlangsung sebuah program, "Sijil Halal Malaysia dan Kontroversi Cadbury: Satu Perspektif" di mana satu sesi penerangan berkenaan isu kontroversi Cadbury yang disampaikan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) kepada para penggiat media sosial.
Program yang dianjurkan laman Mykmu.net dan Suara.TV, difahamkan bertujuan bagi menerangkan kekeliruan mengenai kontroversi berkenaan secara lebih jelas kepada para penggiat media sosial secara khusus dan turut dihadiri oleh Ikatan Aktivis Siber Malaysia serta beberapa blogger lain.
KedahNews.com turut dijemput ke program berkenaan, namun atas kekangan dan sebab-sebab tertentu, pihak kami tidak dapat menghadiri program berkenaan. Namun pihak penganjur sempat menceritakan secara terperinci mengenai program tersebut.
Menurut penganjur, pihak Jakim telah berjaya menjelaskan mengenai kontorversi Cadbury kepada para penggiat media sosial semalam di mana seluruh yang hadir amat berpuas hati dengan kandungan sesi penerangan yang disampaikan.
"Selepas mendengar penerangan dan sesi soal jawab bersama Jakim mengenai pensijilan halal, kami yakin kaedah yang diguna pakai adalah yang terbaik.
"Kami yakin dan percaya dengan keputusan status halal Jakim dalam isu coklat Cadbury ini dan mereka tidak akan mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberikan umat Islam," kata Presiden Ikatan Aktivis Siber Malaysia, Md. Faizal Ahmad, yang dipetik dari Utusan hari ini.
Sememangnya misi penganjuran program tersebut tercapai memandangkan bukan mudah untuk memberikan keyakinan kepada para penggiat media sosial yang terkenal dengan sikap kritis dan cerewet dalam pelbagai aspek.
Menurut salah seorang penggiat media sosial yang berpengalaman menceburi industri pemakanan, Jakim berjaya mengekalkan standard halal jabatan itu yang terkenal dengan sifat "ketat, terperinci dan sangat sensitif" secara konsisten.
Katanya, Jakim bukan hanya bergantung kepada laporan makmal semata-mata, malah jabatan itu juga begitu teliti berkenaan persijilan halal dari pelbagai aspek unsur makanan atau minuman seperti kesucian produk sama ada dari sumber mentah dan atau sumber siap, dan bebas dari unsur syubhah.
Pun begitu, program berkenaan tidak dapat lari dari dikontorversikan pihak media apabila Astro Awani dikatakan cuba memutar belitkan keadaan, kononnya pihak Jakim enggan makan Cadbury di majlis tersebut, seolah-olah "tidak berani" makan Cadbury.
Menjelaskan perkara sebenar, pihak penganjur menegaskan bahawa memang Jakim tidak turut serta di dalam program "makan-makan Cadbury" yang diadakan selepas sesi penerangan tersebut kerana mereka tidak punya sebarang agenda untuk berbuat sedemikian.
Penganjur juga dimaklumkan awal bahawa pihak Jakim tidak dibolehkan sama sekali tampil berdepan dengan media lain di program itu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jakim.
"Dari awal mengatur program ini pihak Jakim sudah maklum mereka hanya datang beri penerangan saja. Mereka tidak boleh tampil dalam media tanpa kebenaran Ketua Pengarah," kata Ab Jalil Backer yang dipetik dari laman Mykmu.net, hari ini.
Lebih dikesali, meskipun pihak penganjur telah memaklumkan salah faham tersebut kepada pihak Astro Awani, namun media itu hanya membetulkan sebahagian kandungan berita sahaja tetapi mengekalkan tajuk yang dianggap cuba meraih "kontroversi" terhadap Jakim.
Mengenai perkembangan berkaitan, Presiden Ikatan Aktivis Siber Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan supaya menyiasat segera berkenaan mengapa ujian keputusan ke atas sampel Cadbury tercemar dengan DNA babi hanya diumumkan tiga bulan selepas ujian dijalankan.
Katanya, adalah tidak masuk akal keputusan ujian yang memberi kesan besar ke atas umat Islam itu hanya diumumkan selepas tiga bulan ujian dibuat.
"Mengapa keputusan ujian DNA babi ke
atas coklat Cadbury diketahui pada bulan Februari tetapi diumumkan pada
bulan Mei. Bagaimana jika coklat itu benar-benar tercemar dan bayangkan
jumlah yang telah dimakan oleh umat Islam?
"Kita juga mahu penjelasan mengapa kementerian tidak menjalankan ujian kedua bagi mengesahkan penemuan awal," tegas Md. Faizal sebagaimana yang dipetik dari Utusan.
Jakim dalam sesi penerangan kepada penggiat media sosial itu diwakili oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Muhammad Naim Mohd. Aziz berkaitan isu coklat keluaran Cadbury.
Selepas sidang akhbar itu, Md Faizal bersama-sama blogger yang lain menjalankan demo memakan coklat Cadbury yang diadalakan selepas para pegawai Jakim beredar dari lokasi majlis. -KedahNews.com