Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng teruk "dibelasah" dari segenap sudut apabila beliau memperlekeh dan menganggap pembinaan sebuah lapangan terbang baharu di Kulim, Kedah, adalah tidak sesuai.
Selepas dimalukan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir baru-baru ini, Guan Eng diaibkan pula oleh rakyat pimpinannya sendiri apabila Kongres Melayu P.Pinang (KMPP) menuduhnya sebagai ego dan tamak.
Presiden KMPP, Rahmad Isahak berkata sikap Guan Eng tersebut telah menunjukkan beliau seorang yang mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata selain tidak menyokong perkembangan ekonomi negeri sekitar utara, termasuk Pulau Mutiara itu.
"Cadangan kerajaan negeri Kedah yang tidak sepatutnya dijadikan isu sebaliknya beliau harus menyokong dan bukan mengugut. Kongsilah sama hasil pendapatan ekonomi dan jangan hendak bolot atas kapasiti politik semata-mata" katanya yang dipetik dari UtaraNews.com baru-baru ini.
Guan Eng sebelum itu meletakkan pelbagai syarat "berat sebelah" dan tidak masuk akal kepada Kerajaan Pusat sekiranya berhasrat membina lapangan terbang baharu itu di mana beliau mahu Lapangan Terbang Antarabangsa dinaiktaraf memiliki dua landasan.
Selain itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga memaksa Kerajaan mengikut kemahuannya untuk menubuhkan kargo terminal udara bersepadu yang dilengkapi kemudahan dan
sistem paling canggih termasuk kemudahan operasi kargo dengan hub penyenggaraan,
pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa.
Sekiranya syarat-syarat yang melibatkan duit rakyat berbilion ringgit itu tidak dipenuhi Kerajaan Pusat, Guan Eng tetap berkeras dengan pendirian mengatakan cadangan pembinaan lapangan terbang di Kulim itu "tidak sesuai" dan "membazir".
Mukhriz dalam kenyataannya berhubung sikap Guan Eng terhadap isu tersebut menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak berpandangan jauh dan berpandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) tidak boleh dinaiktaraf lagi ekoran tanah pulau yang terhad.
"Apa guna kita bina lapangan terbang di pulau yang terbatas dari segi tanah?" persoal Mukhriz mengenai syarat-syarat Guan Eng itu.
Berkenaan kos pembinaan yang didakwa Guan Eng sebagai "membazir" itu, Menteri Besar Kedah selamba membidas Setiausaha Agung DAP itu dengan mengatakan bahawa terowong yang mahu dibina di Pulau Pinang sebelum ini jauh lebih membazir dan tidak wajar.
"Dahulu, mereka kata pembinaan Jambatan Pulau Pinang sebagai membazir, sekarang nak cadang satu terowong pula. Pada pandangan saya terowong lebih membazir dari lapangan terbang, seluruh rantau utara Malaysia boleh gunakan," bidas Mukhriz terhadap sikap Guan Eng yang dikatakan bermotifkan politik itu.
Kata Mukhriz, lapangan terbang yang dicadangkan itu bertujuan untuk mencetus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri di utara tanah air di mana lokasi yang dipilih itu amat strategik meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak, termasuk selatan Thai.
"Lapangan terbang itu boleh menjadi pintu masuk bagi zon utara, yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak, untuk tujuan penumpang dan kargo," kata Mukhriz yang menjangka LTABL akan sesak teruk sekitar dua tiga tahun lagi dan tidak dapat menampung permintaan semasa.
Menteri Besar Kedah itu mencadangkan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di atas sebidang tanah seluas kira-kira 600 hektar di Kulim dan projek yang mampu memberi kemakmuran rakyat di zon Semenanjung Utara itu masih lagi diperingkat awal. -KedahNews.com