Lelaki Pakistan Ditemui Mati Di MSU


Shah Alam, 17 Jun – Seorang lelaki warga Pakistan ditemui mati  dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam kejadian yang berlaku di sebuah Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Seksyen 13, Shah Alam.

Lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Uzair, 25, ditemui di sebuah bilik pengurusan sistem penghawa dingin sepusat (AHU) tingkat 8 bangunan universiti tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Ruslan Abdullah berkata polis menerima maklumat pada 3.45 petang daripada kakitangan MSU berhubung penemuan mayat tersebut dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus mendapat laporan itu.

Dalam siasatan awal yang dijalankan, Muhammad Uzair yang bekerja di bahagian pembersihan universiti itu telah berselisih faham  dengan seorang lagi rakan rumahnya yang merupakan berwarganegara sama sebelum kejadian.

Mereka dikatakan bergaduh kerana berebut giliran untuk masak sebelum ditenangkan oleh salah seorang penyelia tempat kerja mereka.

"Pada kira-kira jam 3.30 petang hari ini, penyelia berkenaan menghubungi pihak pentadbiran universiti untuk memaklumkan Muhammad Uzair ditemui mati di bilik AHU berkenaan. Polis masih mengesan rakan mangsa, Muhamad Tanveer, 24, yang dipercayai telah menghilangkan diri," katanya.

Ruslan berkata, mangsa telah bekerja di universiti tersebuk sejak tahun 2013 dan punca kematian masih dalam siasatan pihak polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor