Letak Jawatan: Johari Enggan Tunduk Kehendak Akar Umbi

Petaling Jaya -  Biarpun menerima desakan hebat dari akar umbi supaya meletak jawatan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul enggan melepaskan jawatan yang disandangnya itu.

Katanya, sesiapa sahaja boleh melakukan desakan sebegitu dan beliau tiada kuasa untuk menghalangnya.

"Sesiapa pun boleh desak, biasalah tu... tapi terpulang kepada saya untuk buat keputusan. Kita tak boleh halang sesiapa," katanya kepada media di Ibu Pejabat PKR semalam.

Sebelum ini, ramai pihak dari kalangan akar umbi parti tersebut bangkit mendesak Ahli Parlimen Sungai Petani itu supaya meletak jawatan kerana didakwa gagal mengendalikan proses pemilihan parti secara telus dan adil.

Terkini, dianggarkan seramai 30 anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah berhimpun di hadapan ibu pejabat parti itu baru-baru ini bagi mendesak JPP supaya segera mengumumkan keputusan pemilihan kali ini.

Menurut Johari, pihaknya tidak boleh tergesa-gesa dalam mengambil tindakan dan penjelasan sewajarnya perlu diberikan bagi mengelak salah faham.

"Mereka mahu kami segerakan keputusan tapi kita tak boleh terburu-buru dalam mengambil tindakan. Ada beberapa proses yang perlu dilalui. Selepas diberi penjelasan baharulah mereka faham," katanya.

Selain itu, Johari menyambut baik proses demonstrasi yang dilakukan akar umbi tersebut kerana ia dianggap sebagai sebahagian dari proses "demokrasi".

"Kita percaya kepada demonstrasi secara aman cuma jangan sampai tindakan itu mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga memaklumkan bahawa sebanyak enam cabang akan mengadakan pemilihan semula pada Ahad ini selepas berlaku kekecohan ketika proses pemilihan berlangsung sebelum ini.

Enam cabang yang dimaksudkan tersebut ialah Cabang Klang, Sabak Bernam, Kapar, Shah Alam, Kota Raja dan Petaling Jaya Selatan.

"Bagi Shah Alam, pemilihan semula diadakan kerana hari pengundian ditutup lebih awal. Jadi bagi mana-mana anggota yang masih belum mengundi mereka boleh berbuat demikian pada Ahad ini," jelasnya. -KedahNews.com