Litar Lumba 1Kedah Bakal Dibina Di Sungai Petani -Mukhriz


Alor Setar, 26 Jun – Menteri Besar Kedah, Dato’Seri Mukhriz Tun Mahathir telah mengumumkan pembinaan litar lumba di sebidang tanah seluar 50 ekar di Sungai Petani,Kedah semalam.

Mukhriz berkata pembinaan litar lumba itu sebagai satu bukti kerajaan negeri Kedah dibawah Barisan Nasional (BN) mengotakan manifesto yang telah dibuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

“Majlis mesyuarat kerajaan negeri Kedah telah memutuskan litar lumba yang agak lama kita perkatakan akan ditempatkan di Sungai Petani iaitu sebidang tanah keluasan 50 ekar.

“Litar lumba ini akan mengandungi litar supermoto motard, drag scripts dan juga litar motorcross.

“Kerajaan negeri juga yakin ia mempunyai potensi untuk menarik pelancongan ke negeri Kedah khususnya di kawasan Sungai Petani,” kata Mukhriz.

Pengumuman itu dibuat oleh Mukhriz setelah selesai mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darulaman pada Rabu lalu.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor