George Town - Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa Teoh Cheng Cheng yang didakwa
sebagai mualaf bukan beragama Islam ketika wanita itu meninggal dunia.
Hakim
Zaim Md Yudin dalam penghakimannya pada Khamis memerintahkan pihak yang
pada masa ini menyimpan mayat Teoh supaya menyerahkannya kepada
keluarga mendiang.
Hakim turut memerintahkan supaya pihak polis membantu dalam perkara itu.
Beliau
turut membenarkan keluarga Teoh untuk menuntut mayatnya dan melakukan
upacara pengebumian mengikut kepercayaan keagamaan mereka.
Teoh, 38, ibu kepada empat anak, meninggal dunia di apartmentnya di Jalan Macallum pada Sabtu lalu.
Pada
Isnin, upacara pengebumian Teoh dikejutkan dengan kehadiran para
pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) di sebuah apartment di
Jalan Macallum untuk "menuntut" mayat berkenaan.
Teoh didakwa memeluk agama Islam 17 tahun lalu, yang mempunyai nama Islam, Nora Teoh Abdullah.