Kuala Lumpur – Majikan kepada Lola, 40, ibu remaja orang kelainan
upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, mendakwa wanita terbabit tidak
pernah menceritakan kesempitan hidupnya kepada majikan yang mempunyai
pelbagai saluran untuk membantu.
Pengurus Kanan Modal Insan Brahim’s Airline Catering (BAC) Ahmad Reza
Kamaruddin berkata, Lola yang bertugas sebagai pekerja penyajian di
syarikat itu sejak 10 tahun lalu terlalu berahsia dan hanya melakukan
tugas tanpa membabitkan hal-hal peribadi di tempat kerja.
“Kami terkejut apabila membaca kisah anaknya itu tersiar kerana dia
tidak pernah berkongsi masalahnya itu dengan pihak syarikat ataupun
Kesatuan Pekerja-pekerja BAC yang amat mementingkan kebajikan pekerja
dan ahlinya.
“Kami faham dengan pendapatan kasar RM2,327.81 sebulan atau bersih
RM1,549.38 dan, ia mungkin tidak cukup untuk menyara dua anaknya tetapi
syarikat juga menyediakan banyak ruang untuk membantu termasuk membuat
pinjaman peribadi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari
ini.
Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan menyayat hati terkurung dalam
rumah di Flat Semarak, Taman Semarak Nilai, dekat sini, Sabtu lalu.
Keadaan Muhammad Firdaus yang kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar
Seremban dilaporkan stabil dan semakin pulih. – Harian Metro