Majlis Peguam Ibarat "Biro Undang-Undang Pakatan Rakyat"

Seorang pengamal undang-undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menganggap Majlis Peguam layak diibaratkan sebagai "Biro Undang-Undang Pakatan Rakyat" ekoran dilihat sering berat sebelah dan menyokong parti-parti politik pembangkang.

Dia yang juga merupakan seorang peguam itu menggesa agar badan profesion itu supaya bertindak adil, realistik, dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, serta lebih bertumpu pada konsep keadilan undang-undang negara.

Katanya, Dewan Rakyat sewajarnya membataskan kuasa Majlis Peguam dan meminda Akta Profesion Undang-Undang untuk memastikan ia tidak disalahguna oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Mengehadkan kuasa badan Majlis Peguam ini penting bagi memastikan badan tersebut lebih adil dan tidak hipokrit dalam membuat kenyataan berhubung undang-undang di negara ini dan tidak hanya menyebelahi satu pihak saja," katanya kepada media baru-baru ini.

Selain itu, Khairul juga menegaskan bahawa sikap berat sebelah Majlis Peguam itu turut menjejaskan nama baik profesyen guaman di Malaysia meskipun sebenarnya badan tersebut sebenarnya tidak berlandaskan pendirian majoriti peguam-peguam lain.

"Biarpun secara undang-undang Majlis Peguam mewakili lebih 14,500 peguam yang ada di negara ini namun secara moralnya, mereka hanya mewakili lebih 2,000 peguam.

"Itu merupakan jumlah peguam yang terlibat dalam proses pemilihan ahli jawatankuasa majlis peguam semenjak 10 tahun yang lalu," katanya membidas kewajaran Majlis Peguam yang cenderung menyokong agenda murtad dan LGBT sebagaimana yang diperjuang pihak pembangkang.

Khairul juga mahu sebuah badan berasingan diwujudkan bagi membuka ruang kepada para peguam menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, khususnya pada Majlis Peguam yang sering merosakkan imej pengamal undang-undang di Malaysia.

"Jika diwujudkan badan yang berasingan sebagai tempat rujukan dan aduan, saya yakin ramai peguam akan membuat aduan berikutan timbul rasa tidak puas hati terhadap pelbagai perkara," tegasnya lagi.

Khairul Azam sebelum ini pernah bertindak menyaman Majlis Peguam tersebut kerana tidak berpuas hati dengan sistem EGM badan tersebut yang dikatakan tidak berlandaskan konsep demokrasi sebagaimana yang ditetapkan. -KedahNews.com