MAS: Ahli Parlimen DAP Kecam MASEU

Tan Seng Giaw Vs MASEU
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw mengecam Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU) kerana menghalang usaha untuk memulihkan Malaysia Airlines (MAS) dengan tuntutan dan ancaman yang dianggap "tidak munasabah".

Ahli Parlimen Kepong (DAP) yang sudah berkhidmat selama lapan penggal itu berkata, perjalanan MAS berlanjutan terlalu lama kira-kira lebih 40 tahun menyebabkan kesatuan itu semakin kukuh hingga mampu menggugat syarikat penerbangan nasional yang sedang menghadapi masalah itu.

"Memandangkan kesatuan ini sudah lama dan mantap, mereka membuat tuntutan yang menakjubkan. 

"Jika ada kesatuan yang tidak memahami kedudukan industri penerbangan hari ini, MAS tidak boleh bertahan. Jika mereka membuat terlalu banyak tuntutan, bagaimana MAS hendak terus hidup?" katanya membidas MASEU, sebagaimana yang dipetik dari sumber Bernama hari ini.

MASEU yang merupakan kesatuan terbesar dalam kalangan kesatuan sekerja dalam MAS baru-baru ini mengancam melancarkan mogok jika tuntutannya supaya eksekutif pengurusan penting syarikat itu disingkirkan dan kerajaan campur tangan dalam syarikat itu tidak dipenuhi.

Kesatuan itu juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan percubaan pengurusan untuk menyusun semula MAS yang merangkumi ura-ura untuk menjual bahagian kejuruteraannya dan perniagaan bukan teras lain yang dianggap merugikan oleh pakar-pakar analisis industri penerbangan.

Pada 2011 dan 2012, kesatuan pekerja MAS itu juga membantah cadangan "swap-share" antara syarikat itu dan AirAsia, iaitu langkah yang disambut baik oleh banyak pihak sebagai permulaan baharu bagi MAS, termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua syarikat penerbangan ketika itu terpaksa tunduk kepada tekanan kesatuan tersebut pada Mei 2012 dengan membatalkan penggabungan yang dianggap menguntungkan MAS dari sudut jangka masa panjang.

Pengamal politik DAP itu juga menegaskan bahawa apa jua tuntutan yang dibuat oleh kesatuan itu sewajarnya mengambil kira kepentingan syarikat penerbangan berkenaan dan mesti sejajar dengan prestasi kewangan, produktiviti dan pulangannya.

"Jika tuntutan dan ancaman itu merosakkan MAS, dan jika menyebabkan menjunamnya produktiviti, bagaimana MAS boleh mencapai prestasi yang baik? 

"Jadi, saya rasa tuntutan ini tidak logik dan menjejaskan semua pihak, bukan saja MAS, malah imej Malaysia.

"Keadaan ini sudah berlanjutan terlalu lama dan saya rasa cukuplah setakat ini," katanya lagi membidas tindakan melampau MASEU.
Mengulas lebih lanjut tentang ugutan kesatuan itu untuk melancarkan mogok jika pengurusan penting tidak berubah, Dr Tan berkata, kedua-dua pihak iaitu kesatuan dan pengurusan harus mencari penyelesaian secara baik demi kepentingan kedua-dua pihak serta negara.

Beliau berkata, tuntutan kesatuan itu juga seharusnya bersifat selari dengan tuntutan kesatuan di negara lain seperti Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Britain yang pernah mengalami kemelut yang serupa dengan MAS.
"Kita perlu bandingkan tuntutan ini dengan tuntutan kesatuan lain di negara ini dan seluruh dunia, sama ada ia munasabah atau tidak. Apakah keuntungan yang boleh diraih oleh kesatuan ini, jika mereka dapat apa yang mereka mahu tetapi menyebabkan MAS jatuh," katanya lagi.

MAS sebelum ini melaporkan kerugian sebanyak RM1.17 bilion tahun lalu dan RM443 juta bagi suku pertama 2014, satu pencapaian yang jauh lebih teruk berbanding kerugian RM279 juta yang dialami bagi suku pertama 2013.

Selain itu, Khazanah Nasional, pemegang saham majoriti MAS, juga mengumumkan ia akan memerlukan enam hingga 12 bulan untuk melaksanakan rancangan penyusunan semula syarikat itu dan semua pilihan sedang dipertimbangkan.

Dr Tan juga menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan sebarang langkah kerajaan untuk menyelamat selanjutnya bagi MAS sekali lagi, dan berpandangan bahawa langkah sedemikian tidak pernah menjadi cara yang sesuai bagi mana-mana syarikat dunia.

Ulasnya, budaya dalam MAS yang bergantung kepada subsidi kerajaan mesti dihentikan, memandangkan hakikat Khazanah Nasional setakat ini telah menyuntik sejumlah RM5 bilion wang pembayar cukai dalam jangka masa 10 tahun, namun tiada tanda syarikat penerbangan itu akan pulih.

"Setiap kali kita tukar CEO (ketua pegawai eksekutif), kita tidak nampak sebarang penambahbaikan hinggakan pada satu ketika, MAS menanggung hutang RM8 bilion. Jika kita teruskan subsidi dan bantuan kerajaan begini, kita tidak akan ada sebuah syarikiat penerbangan nasional yang berdaya maju selama-lamanya," ujarnya.

Ahli Parlimen itu juga berpendapat bahawa pencarian bagi seorang CEO MAS pada masa akan datang harus mengambil kira orang yang terbaik bagi tugas itu, tanpa mengira warna kulit atau keturunan, dan ini dibuktikan oleh syarikat penerbangan lain yang pulih dengan jayanya manakala MAS terus gagal. – KedahNews.com