Kelana Jaya, 11 Jun – Seorang wanita
berusia 22 tahun ditemui mati di sebuah hotel bajet dalam keadaan bogel dengan kesan lebam di
leher dipercayai dibunuh oleh abang iparnya di sini semalam.
Mayat wanita itu dijumpai petang
semalam oleh kakaknya dan kakitangan hotel selepas suspek menghubungi isterinya
mendakwa akan bertindak membunuh mangsa.
Menurut laporan dari pihak hotel, wanita yang bekerja sebagai
juruwang di sebuah spa itu mendaftar masuk ke hotel berkenaan bersama suspek
pada hari Isnin kira-kira jam 4.00 petang dan lelaki itu dilihat keluar dari
hotel seorang diri keesokan harinya sebelum menghubungi isterinya.
Dalam pada itu, isteri suspek
mengesahkan menerima panggilan dari suaminya petang semalam serta mendakwa
lelaki tersebut memberitahu yang dia kini berada di Perak dan akan bertindak
membunuh diri dengan meminum racun.
Polis kini sedang memburu suspek
yang bekerja di sebuah pub di Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Polis Petaling
Jaya, Supritenden Fadil Marsus berkata, dalam siasatan awal pihak polis
berkemungkin wanita itu mati akibat dicekik oleh suspek berikut penemuan kesan
lebam di bahagian leher mangsa.
“Tiada tanda-tanda lain dikesan
di badannya. Tiada penemuan kondom atau dadah di bilik hotel,” katanya di
tempat kejadian.
Pihak polis mengesyaki
berkemungkinan mangsa mati disebabkan sesuatu berlaku ketika mereka melakukan
hubungan seks.
Fadil berkata, siasatan awal
mendapati wanita itu mati kira-kira jam 12.30 pagi selasa dan polis sedang
menunggu laporan bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian mangsa. –KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor