MB Selangor Tewas, Tiba-Tiba "Blackout 2 Jam"


Kuala Selangor, 26 Jun – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah tewas pada pemilihan semula Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor.

Abdul Khalid tewas ditangan pencabarnya, S.Manikavasagam pada pemilihan semula yang telah berlansung pada sabtu lalu.

Dalam pemilihan itu, Calon Timbalan Presiden PKR itu memperolehi 515 undi berbanding  Manikavasagam yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor yang memperolehi  701 undi.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR telah menarik balik pengantungan yang dikenakan terhadap Manikavasagam yang mendakwa Abdul Khalid terlibat dengan politik wang bagi meraih undi di kawasan berkenaan.

Menurut sumber dari pejabat Menteri Besar, Abdul Khalid akan mengemukakan bantahan terhadap keputusan pemilihan walaupun belum diumumkan secara rasmi kerana mendakwa berlaku penipuan semasa proses pengiraan undi dijalankan pada rabu lalu.

"Ada sebanyak 390 undi rosak bagi jawatan timbalan presiden, tapi Tan Sri (Khalid) tetap menang.

"Namun masalah timbul apabila dewan pusat pengiraan undi di Ibu Pejabat PKR blackout secara tiba-tiba selama dua jam ketika proses pengiraan undi bagi jawatan ketua cabang nak bermula," kata sumber yang enggan dikenali.

Menurut sumber lagi, agak mustahil Abdul Khalid boleh tewas dalam pemilihan ketua cabang dikawasan berkenaan dengan 186 undi memandangkan Menteri Besar Selangor berjaya menewaskan Azmin Ali dalam undian jawatan Timbalan Presiden PKR di kawasan Kuala Selangor.

“Ia amat mencurigakan, malah kita dapati jumlah undi rosak bagi jawatan timbalan presiden yang sudah dikira awal juga berkurangan.

"Kita percaya wujud tindakan pihak tidak bertanggungjawab menukar kertas undi rosak kepada undi yang berpihak kepada Manikavasagam," katanya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor