MB Selangor Tiada Masa Layan Desakan PAS Dan DAP

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menegaskan pihak Kerajaan Negeri tidak punya masa untuk melayan desakan PAS atau DAP yang mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Khalid menjelaskan bahawa beliau dan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor langsung tidak peduli soal gesaan tersebut dan tidak pernah ditimbulkan di dalam mana-mana menyuarat kerajaan negeri.

"Tak payah. Exco dan menteri besar dalam mesyuarat tak ambil masa nak membincangkan isu tersebut," katanya kepada media, semalam.

Khalid sebelum ini menerima pelbagai tekanan daripada pemimpin Pakatan Rakyat khususnya di Selangor yang menggesa beliau berundur ekoran prestasinya yang dikatakan tidak menepati "citarasa" gabungan parti-parti politik tersebut.

PAS Selangor mula menyuarakan keluhan mereka mengenai kelemahan pentadbiran Khalid sebelum DAP yang mengancam kedudukan beliau ekoran tidak berpuas hati dengan pendekatannya berhubung beberapa isu yang tercetus.

Antara isu yang sedang "menghantui" Khalid ialah berhubung sikapnya yang kurang tegas dalam mengutamakan isu rakyat, rampasan Al-Kitab oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pelaksanaan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa kedudukan Khalid hanya diputuskan sekiranya perkara itu ditimbulkan dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat.

Anwar turut menyifatkan kritikan yang dilemparkan terhadap Khalid itu hanyalah pandangan peribadi sahaja dan tidak membabitkan pendirian rasmi pakatan antara parti pembangkang itu.

Mengenai perkembangan lain, Khalid juga enggan memberi sebarang ulasan mengenai kekecohan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Selangor pada minggu lalu yang turut membabitkan insiden berdarah dan "kerusi terbang" di Kuala Langat. -KedahNews.com