Mengapa Teluk Intan Tolak DAP?

Memang benar calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud tewas pada Presiden Gerakan, Dato' Mah Siew Keong pada Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan, sekaligus gagal mengekalkan majoriti lebih 7,000 undi yang dimenangi DAP pada Pilihanraya Umum ke-13 kira-kira setahun lalu.

Agak mengejutkan apabila hanya di dalam tempoh setahun lebih, DAP "hilang" lebih dari 7,000 undi di kawasan yang majoritinya terdiri dari kaum Cina. Apa puncanya parti itu gagal dan tewas pada "calon kitar semula" Barisan Nasional (BN) yang pernah kalah di kerusi yang sama sebelum ini?

Ada pihak yang mendakwa kekalahan DAP di Teluk Intan disebabkan oleh strategi parti itu yang kononnya lewat memperkenalkan Dyana Sofya pada para pengundi di situ dan menggunakan strategi kempen di bandar yang digunakan di kawasan luar bandar.

Fakta dari parti yang kalah itu menunjukan DAP memperoleh tambahan undi sebanyak 3 peratus dari masyarakat Melayu Teluk Intan, namun hilang kira-kira 15 peratus undi dari masyarakat Cina berbanding yang diperoleh pada PRU ke-13 tahun lalu.

Persoalan yang timbul ialah mengapa undi Melayu meningkat pada DAP dan mengapa pula parti itu hilang 15 peratus undi kaum Tiong Hua dari jumlah 66.5 peratus yang keluar mengundi?

Penulis berpandangan bahawa peningkatan sebanyak 3 peratus undi dari bangsa Melayu untuk DAP itu adalah disebabkan oleh faktor calon parti itu yang mengetengahkan Dyana Sofya sebagai calon mereka.

Teluk Intan sebelum ini amat jarang ditandingi oleh calon Melayu ekoran majoriti di kawasan tersebut merupakan kaum Cina dan cubaan DAP untuk "mengorbankan" Dyana Sofya di parlimen itu ternyata berhasil!

DAP sepatutnya sedar dari awal bahawa DAP Teluk Intan dalam diam mengharapkan agar parti mereka mencalonkan salah seorang pemimpin DAP tempatan dari kalangan kaum Cina. Namun kedegilan "penasihat DAP" enggan berbuat demikian.

Mungkin atas faktor "keras kepala" DAP Pusat yang tidak menghormati kehendak dan hak DAP Teluk Intan itu, maka Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang terpaksa menerima padah dan mungkin hilang kreadibilitinya di mata rakyat.

Jelas sekali, corak pentadbiran "autokratik" DAP memakan diri. Namun ramai pihak percaya bahawa DAP tidak rugi apa-apa kerana yang "terkorban" di Teluk Intan bukanlah seorang pemimpin Cina dan hanya seorang gadis mentah berbangsa Melayu yang sebelum ini berjaya didoktrinkan mengikut acuan DAP.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa elemen "mengundi atas faktor kaum" turut menyumbang ke arah kekalahan DAP. Pengundi Melayu bertambah sebanyak 3 peratus pada DAP kerana calonnya Melayu dan hilang 15 peratus undi ekoran calon BN adalah berbangsa Cina.

Penulis yakin, sekiranya DAP meletakkan calon dari kaum Cina seperti Hew Kuan Yaw yang juga dikenali sebagai "Superman DAP" di Teluk Intan, mungkin tiada peluang bagi calon BN untuk menang di situ.

Analisis itu adalah berdasarkan pada corak pemikiran masyarakat Cina terkini di Malaysia yang dilihat lebih cenderung menganggap DAP sebagai sebuah parti "chauvinis ultra kiasu" yang lebih memihak pada perjuangan kaum mereka berbanding Gerakan atau MCA di dalam BN.

Apapun, tahniah kepada Dr Mah atas kemenangan beliau sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan yang baharu dan Presiden Gerakan itu sedar tentang tanggungjawabnya yang berat untuk berbakti pada penduduk Teluk Intan selepas ini.

Kredit sepenuhnya wajar diberikan pada pakar strategi BN yang berjaya membaca kesilapan DAP itu dengan mengambil kesempatan atas kelemahan strategi parti pembangkang itu kali ini. DAP jelas tidak bermaya dengan kehilangan lebih 7,000 undi di Teluk Intan. -UtaraNews.com