Seluruh imam di negeri Kedah diingatkan agar tidak mencemari institusi masjid dengan sebarang penyelewengan termasuk memperalatkan mimbar khutbah masjid untuk kepentingan politik sempit segelintir pihak.
Mengingatkan demikian, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihak-pihak bertanggungjawab perlu melakukan pemantauan berterusan dan mengambil tindakan jika perlu agar institusi mulia itu tidak terus tercemar.
Mengingatkan demikian, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihak-pihak bertanggungjawab perlu melakukan pemantauan berterusan dan mengambil tindakan jika perlu agar institusi mulia itu tidak terus tercemar.
"Pihak kerajaan negeri sentiasa mengambil tanggungjawab dalam semua perkara dengan bersungguh-sungguh termasuklah dalam memastikan pengurusan masjid-masjid di Kedah berjalan dengan baik dan sempurna.
"Jantung masyarakat (masjid) ini haruslah dijaga dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
"Imarahkanlah ia dengan majlis-majlis ilmu berkaitan fardhu ain mahupun fardhu kifayah selain solat lima waktu," katanya Mukhriz sempena majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan dan penyampaian Sumbangan Pengimarahan Masjid Peringkat Negeri Kedah baru-baru ini.
Menteri Besar Kedah itu juga berharap agar setiap "rumah Allah" di seluruh negeri Kedah akan menjadi lambang perpaduan ummah sebagaimana yang dituntut agama Islam.
“Adalah menjadi harapan saya dan pihak kerajaan agar institusi masjid ini benar-benar dapat menjadi wadah penyatuan ummah yang sentiasa hidup saling berkasih sayang dan bersatu padu,” katanya.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 563 buah masjid telah menerima sumbangan masing-masing sebanyak RM1,000. -KedahNews.com