Mukhriz Isytihar Perang "Ketum", Rampas Tanah Jika Degil

Alor Setar, 26 Jun – Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri haji Mukhriz Tun Mahathir memberi amaran kepada penanam ketum, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk akan merampas tanah-tanah yang dijadikan ladang ketum bagi mengekang penyalahgunaan air ketum dalam kalangan masyarakat negeri ini.

Mukhriz berkata, mengikut Seksyen dalam Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa kerajaan negeri boleh merampas tanah-tanah yang melanggar syarat seperti tanah sawah yang dijadikan lading daun ketum.

"Kerajaan negeri tidak teragak-agak merampas tanah itu jika didapati bersalah (menanam ketum) dan pemilik-pemilik tanah persendirian juga tidak terkecuali menerima tindakan sama jika  menanam pokok ketum.

"Ini kerana penanaman ketum adalah satu kesalahan di negeri ini walaupun masih belum ada akta yang melibatkan ketum diwartakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di Wisma  Darul Aman di Alor Setar, semalam.

Kerajaan negeri akan mengenalpasti pemilik tanah yang terlibat dengan penyalahgunaan kawasan tanah melalui maklumat yang akan disalurkan melalui pemantauan pihak polis serta Pejabat Tanah dan Galian dan akan merampas tanah mengikut akta yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Undang-undang sedia ada memperuntuk hukuman denda dan pesalah yang melakukan kesalahan berulang kali juga dikenakan denda sama.
"Oleh itu, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk merampas tanah-tanah yang dijadikan ladang ketum," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz juga mengucapkan tahniah kepada Pengerusi MCA Negeri Kedah, Dato’Lee Chee Leong yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri oleh Perdana Menteri, Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak yang berkuatkuasa semalam.


Selain itu, Mukhriz akan membuat temujanji dengan Menteri Pengangkutan yang baru, Dato’Seri Liow Tiong Lai bagi membincangkan hasrat kerajaan negeri Kedah dalam melaksanakan Lapangan Terbang Antarabangsa baru di Kulim, Kedah.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor