Johor Baharu, 11 Jun - Kerajaan Kedah dan Johor akan
membangunkan pusat pengumpulan dan pengedaran produk Perusahaan Kecil
dan Sederhana (PKS) bagi memudahkan pemasaran antara kedua-dua negeri.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata selain
memperkasakan usahawan tempatan, pengwujudan sebuah pusat seumpama itu
di Kedah dan Johor dapat mengurangkan kos logistik.
"Kita akan wujudkan jaringan dua hala iaitu menggunakan sebuah
kontena yang akan membawa produk PKS Kedah ke Johor dan kemudian pulang
ke Kedah dengan membawa produk Johor," katanya kepada pemberita selepas
majlis ramah mesra bersama usahawan Johor di kilang pemprosesan kopi
Karaz Synergy Sdn Bhd, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Md Jais Sarday.
Katanya buat permulaan, kontena yang bayarannya dikongsi bersama
kedua-dua pihak akan bergerak seminggu sekali antara kedua-dua negeri
sebelum kekerapannya ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Mukhriz berkata pihaknya yakin terdapat banyak produk PKS Johor yang
mampu menambat permintaan rakyat Kedah terutamanya sektor makanan.
"Kalau boleh, saya mahu mulakan pembangunan ini dengan cepat kerana
saya tidak fikir ia payah untuk dimulakan. Perbincangan selanjutnya akan
dilakukan dan saya yakin Johor mempunyai prasarana untuk tujuan ini,"
katanya.
Sementara itu, Md Jais berkata pihaknya menyambut baik usaha itu bagi
melahirkan lebih ramai usahawan PKS yang berjaya sekali gus memperkenal
produk Johor ke utara tanah air.
"Kerajaan Johor sudah menjalin program seumpama ini dengan kerajaan Sarawak dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Dengan kerjasama kerajaan Kedah, kita akan memasarkan makanan
seperti kerepek manakala Kedah akan membawa buah-buahan ke sini,"
katanya dan menambah boleh mengeksport buah-buahan terbabit ke Singapura
sekiranya terdapat lebihan.
Katanya kerajaan Johor amat komited untuk membangunkan sektor PKS di
negeri ini dengan mengeluarkan peruntukan RM7.5 juta setakat ini untuk
program galakan usahawan, program Satu Daerah Satu Industri serta
program pembangunan usahawan.
Sementara itu, pada majlis sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi
(UPEN)Johor, A Rahim Nin turut menandatangani memorandum persefahaman
(MoU) bersama Pengarah UPEN Kedah Datuk Bakar Din bagi mengukuhkan usahasama kedua-dua pihak dalam bidang pembangunan usahawan.
Sumber: Mstar