Nusajaya - Kerajaan Kedah berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan Johor khususnya dalam pembangunan sektor perdagangan dan pelancongan.
Menteri Besarnya Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sektor
perdagangan yang menumpukan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana
(PKS) serta pelancongan dilihat berpotensi besar untuk ditinjau bagi
memberi manfaat kepada rakyat.
"Kami mempunyai agenda untuk memperkenalkan produk Kedah ke Johor dan
dalam masa yang sama membawa masuk produk Johor ke Kedah," katanya
kepada pemberita selepas taklimat pembangunan 'Jalinan Transformasi'
antara kerajaan Johor dan Kedah, di sini Selasa.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Rombongan kerajaan Kedah dalam lawatan dua hari ke negeri ini turut
disertai 60 delegasi termasuk Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Mohd Puat
Mohd Ali, exco kerajaan dan ketua jabatan.
Mukhriz berkata kejayaan Johor dalam membangunkan sektor pelancongan
domestik dan bertaraf antarabangsa boleh dijadikan panduan kepada Kedah
dalam meningkatkan sektor yang sama.
Beliau berkata selain Langkawi, terdapat pelbagai produk dan ikon
pelancongan di negeri itu yang boleh dipromosikan kepada pelancong
khususnya rakyat Johor.
Rakyat Kedah pula katanya sudah tentu berminat untuk melihat pelbagai
tarikan di Johor terutamanya taman tema Legoland dan taman tema
keluarga Puteri Harbour.
Menurut Mukhriz sebelum Johor, program jalinan seumpama itu dilaksanakan kerajaan Kedah dengan Melaka pada Februari lepas.
"Lawatan ini juga bertujuan untuk mempelajari pengalaman Johor dalam
membangunkan pelbagai bidang lain termasuk pengeluaran dan perkhidmatan
serta minyak dan gas selain mengeratkan hubungan silaturahim sedia ada,"
katanya, dan menambah kerajaan Kedah lebih selesa melakukan lawatan ke
negeri-negeri sebelum ke luar negara.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya mengalu-alukan
kunjungan kerajaan Kedah dan percaya kerjasama kedua-dua kerajaan negeri
juga sudah terjalin sejak zaman dahulu lagi terutamanya dalam
perdagangan.
"Ini adalah permulaan untuk kita berkongsi pengalaman. Kedah kaya
dengan sektor pertanian seperti padi manakala Johor merupakan pengeluar
makanan berasaskan tanaman," katanya. -Mstar