Mukhriz Sokong Hospital Pakar Di Baling @AzeezPutera @MukhrizMahathir

Baling - Kerajaan negeri menyokong cadangan mewujudkan sebuah hospital pakar di Baling bagi membolehkan penduduk di daerah ini  mendapatkan rawatan segera sekali gus menyelamatkan nyawa pesakit dalam kes yang kritikal.
  
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan rungutan rakyat yang memerlukan sebuah hospital pakar kerana selama ini mereka terpaksa ke Sungai Petani atau Kulim untuk mendapatkan rawatan bagi kes-kes tertentu.
  
"Tentunya kami di pihak kerajaan negeri gembira kalau ia jadi satu kenyataan dan bersedia untuk bantu apa sekalipun dalam soal infrastruktur, mungkin dalam soal tanah dan sebagainya.
  
"Kalau nak bergantung kepada kerajaan negeri, memanglah tak cukup peruntukan untuk tujuan itu, jadi kita harap bantuan secara langsung daripada kerajaan pusat," katanya dalam sidang akhbar media selepas mendengar taklimat pembangunan di Pejabat Daerah Baling hari ini.
  
Cadangan itu dikemuka oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim semasa lawatan rasmi Mukhriz ke daerah ini hari ini.

Abdul Azeez pula berkata buat masa ini, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk membina hospital pakar berkenaan.
  
"Kita tinjau di kawasan hospital sekarang (pekan Baling) yang masih ada kawasan yang luas ataupun cadangkan kawasan sempadan di Lanai, Kuala Pegang yang akan memberi manfaat kepada rakyat di daerah Sik dan Baling," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata terdapat lebih 800 hektar tanah terbiar di Baling, majoritinya dimiliki individu, yang boleh dimanfaat untuk tanaman alternatif bagi menambah pendapatan rakyat.
  
"Oleh kerana harga getah sangat rendah pada masa ini, sangat sesuai untuk mencari sumber pendapatan lain untuk meningkatkan pendapatan," katanya.
  
Beliau juga berkata pihaknya menerima banyak cadangan berhubung perkara itu, termasuk daripada pihak swasta, antaranya mengusahakan tanaman ubi kayu.
  
Katanya, ubi kayu sesuai dengan tanah di daerah ini selain mempunyai permintaan tinggi bagi menghasilkan makanan haiwan dan bahan industri lain seperti kosmetik. - Bernama