Najib Umum 6 Jawatan Kabinet Untuk MCA, Gerakan

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik Menteri Pengangkutan dalam perlantikan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya sebentar tadi.

Liow akan mengambil alih tempat Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memangku jawatan itu sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-13, Mei tahun lalu.

LiowTiongLai

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang baru sahaja memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

MahSiewKeongWeeKaSiong

Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama-sama dengan Mah.

Naib Presiden MCA, Senator Datuk Lee Chee Leong pula dilantik mengisi jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

LeeCheeLeong

Dua lagi Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong yang juga anak kepada bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan manakala Datin Paduka Chew Mei Fun pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

ChuaTeeYong
ChewMeiFun

Dalam sidang media khas itu, Najib berkata sebelum ini MCA membuat keputusan enggan menerima sebarang jawatan dalam kabinet selepas prestasi buruk parti itu dalam PRU lalu.

“Keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa MCA baru-baru ini mahu wakil parti itu dilantik ke dalam kabinet menyaksikan kerajaan telah mengambil kira hasrat tersebut demi mengukuhkan kembali konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran yang melibatkan semua kaum di negara ini.

“Sejajar dengan itu, perubahan perlu dilakukan untuk melonjakkan lagi pendirian Barisan Nasional (BN) yang mendokong prinsip perpaduan kerjasama dan kesatuan dalam memerintah negara,” kata Najib.

Najib yang juga Pengerusi BN turut mengumumkan bahawa Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah turut memperkenankan isitiadat angkah sumpah jawatan dan ikrar menyimpan rahsia jawatan akan diadakan pada Jumaat depan di Istana Negara pada pukul 11.30 pagi.

Beliau yakin barisan kabinet yang baru menyertai jemaah menteri dari parti MCA dan Gerakan merupakan satu pasukan yang mampu menterjemah Aku Janji kita kepada rakyat seperti yang dilafazkan pada PRU umum lalu seterusnya memajukan negara.

“Sejarah negara ini (Malaysia) sejak dahulu telah menyaksikan penglibatan pemimpin-pemimpin dari kaum Cina, India dan lain-lain lagi kumpulan minoriti yang mewakili parti komponen dalam BN turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara,” katanya. 
 
Sumber: Mynewshub.my