Syaaban bakal menempuh separuh perjalanannya pada malam ini. Malam ke-15 Syaaban dikenali sebagai malam nisfu Syaaban.
Persoalan yang sering dilontarkan adalah berkaitan soal boleh atau tidak ia dilakukan kerana ada golongan mendakwa amalan itu sebagai bidaah, manakala golongan lain pula berpendapat ia harus dilakukan selagi tidak bertentangan syarak.
Sudah menjadi kebiasaan di negara ini, termasuk rantau Nusantara, biasanya pada malam itu umat Islam akan berkumpul di surau atau masjid untuk membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dengan setiap sesi bacaan diiringi dengan doa tersendiri.
Boleh dikatakan amalan itu sudah sebati dengan masyarakat Islam di negara ini dan diraikan dengan harapan agar apa yang mereka hajatkan dimakbulkan Allah SWT.
Realiti daripada amalan itu, dapat dilihat ia membantu menyatukan umat Islam apabila mereka sanggup berkumpul dan berhimpun beramai-ramai di surau atau masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan membaca surah Yasin serta berdoa.
Sesuai dengan peredaran zaman yang mana semakin ramai masyarakat Islam menjadi ‘celik agama’ dan tidak ‘bertaklid buta’ terhadap sesuatu ritual yang ada kaitan dengan Islam, maka amalan pada malam nisfu Syaaban mula dipersoalkan.
Pandangan mengenai sambut nisfu Syaaban
Persoalan yang sering dilontarkan adalah berkaitan soal boleh atau tidak ia dilakukan kerana ada golongan mendakwa amalan itu sebagai bidaah, manakala golongan lain pula berpendapat ia harus dilakukan selagi tidak bertentangan syarak.
Perbezaan pendapat ini akhirnya memberi implikasi negatif kepada umat Islam kerana sedikit sebanyak ia menimbulkan perpecahan dalam masyarakat Islam itu sendiri.
Pada masa sama, ada kumpulan yang berpegang kepada prinsip kesederhanaan menganggap amalan itu harus selagi tidak bertentangan ajaran Islam, tetapi ada juga kelompok dalam masyarakat Islam yang agak ‘rigid’ menganggap amalan itu bidaah, sesat dan haram.
Pertelingkahan ini menjadi lebih hebat apabila ada kumpulan menggunakan fatwa ulama terkemuka untuk menolak pandangan kumpulan lain sehingga akhirnya menyebabkan pertelagahan dalam soal yang dianggap ‘ranting’ dalam agama.
Mengulas lanjut persoalan adakah amalan menghidupkan malam nisfu Syaaban itu bidaah atau tidak, terdapat pelbagai pendapat serta pandangan dikemukakan tokoh ulama dan ilmuwan Islam hari ini.
Apa yang pasti, kebanyakan mereka lebih bersifat bersederhana bagi mengulas isu ini sebagai isu ranting dan beranggapan ia tidak perlu diperbesar-besarkan sehingga boleh menimbulkan fitnah kerana dibimbangi akan menyebabkan pertelingkahan sesama umat Islam.
Amalan perlu bersandarkan disiplin ilmu
Bagi pendakwah bebas, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, persoalan menghidupkan malam nisfu Syaaban tidak perlu diperdebatkan kerana apa yang paling utama ialah apa-apa amalan yang hendak dilakukan umat Islam perlu bersandarkan kepada disiplin dan sumber ilmu diperoleh.
Disiplin ilmu yang beliau maksudkan ialah sumber sahih yang diperoleh seseorang umat Islam yang mewajarkan sesuatu amalan itu sesuai atau layak dilaksanakan selagi ia tidak bertentangan dengan syarak.
Menyentuh pertikaian yang wujud mengenai amalan biasa dilakukan umat Islam pada malam nisfu Syaaban seperti membaca surah Yasin, Syed Mohd Norhisyam menjelaskan, ia adalah satu amalan yang mulia dan boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu kedatangan malam nisfu Syaaban.
Baginya, membaca surah Yasin memang amalan yang baik dan digalakkan tetapi ia tidak perlu terikat kepada tarikh atau hari untuk dibaca seperti dibaca pada malam nisfu Syaaban saja.
“Adalah lebih baik bagi umat Islam jika dapat memahami makna ayat yang terkandung pada surah Yasin itu. Apa yang penting, jika kita hendak melakukan sesuatu amalan, ia perlu bersandarkan kepada disiplin ilmu, bukan sekadar ikut-ikutan.
“Satu perkara yang haram ialah jika perbezaan pendapat yang timbul dalam persoalan ini akhirnya menyebabkan berlakunya pertelagahan dan pergaduhan dalam kalangan umat Islam,” jelasnya.
Menyentuh mengenai disiplin ilmu yang perlu diikuti, Syed Norhisyam menjelaskan, umat Islam perlu mendalami ilmu agama yang sebenar sebelum melakukan sesuatu amalan.
Selain daripada perlu berdisiplin, umat Islam juga perlu menekankan soal adab jika bertembung dengan sesuatu isu yang menyebabkan berlakunya perbezaan pandangan.
“Jika kita tidak mahir dengan selok-belok ilmu agama, rujuklah kepada guru. Jika berbeza pendapat kita perlu beradab dengan menghormati pandangan orang lain yang tidak setuju dengan pandangan kita,” katanya.
Beliau menyeru kepada seluruh umat Islam agar tidak terlalu terikat dengan persoalan bidaah dalam amalan pada bulan Syaaban ini, sebaliknya perlu meningkatkan lagi amalan sunat seperti berpuasa dan membaca al-Quran menjelang Ramadan.
“Syaaban adalah bulan untuk kita ‘memanaskan badan’ bagi menambah amalan berpuasa sunat dan membaca al-Quran kerana tidak lama lagi kita akan bertemu Ramadan,” katanya.
Dalam pada itu, ada umat Islam memutuskan untuk terus menghidupkan malam nisfu Syaaban kerana bersandarkan kepada hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban yang menerangkan kelebihan malam nisfu Syaaban.
“Daripada Muaz bin Jabal dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah memandang kepada semua makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.”
Terdapat sepotong hadis menyatakan kelebihan malam nisfu Syaaban iaitu:
“Dari Abi Hurairah beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: Telah datang Jibril pada malam nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua-dua tanganmu ke langit.
“Nabi Muhammad bertanya kepada Jibril, apakah erti malam ini? Jibril menjawab: Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah mengampuni orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, orang yang suka permusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, penderhaka kepada kedua-dua orang tua, orang yang suka menjadi batu api dan mereka yang memutuskan tali persaudaraan. Maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu.
“Maka pergilah Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca doa bermaksud: Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa-Mu dan murka-Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepada-Mu, seperti mana Engkau memuji kepada-Mu sendiri, maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau reda.”
Pokok pangkalnya, Muslim yang bercita-cita untuk melaksanakan sesuatu amalan perlu berilmu atau mempelajari ilmu berkenaan dengan berguru atau mendapatkan tunjuk ajar daripada mereka yang arif.
Ini kerana beramal tanpa ilmu bukan saja boleh merosakkan diri sendiri bahkan mungkin membahayakan seluruh umat manusia.
Dalam hal ini wajar umat Islam merujuk kepada surah al-Isra ayat ke-36 jika mahu melakukan sesuatu amalan yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta untuk bertanggungjawab.”
Sumber: BH