Norman Cabar Awie Bersemuka


Kuala Lumpur, 18 Jun – Pengarah Eksekutif, KRU Music Group, Norman Abd Halim menegaskan dia sudah beberapa kali menghubungi anggota Kumpulan Wings untuk bersemuka bagi membincang mengenai masalah cetak rompak yang sebelum ini menjadi isu apabila penyanyi kumpulan itu, Awie menyalahkan pihaknya yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dalam menyelasaikan perkara yang berlaku.

“Sudah banyak kali saya berhubung dengan Joe (gitaris) untuk berjumpa dengan semua anggota Wings.


Sehingga kini saya masih menunggu tarikh yang sesuai daripada pihak mereka,” Norman ketika ditanya sama ada telah bersemuka dengan Wings mengenai kes cetak rompak album, Menakluk Kosmos daripada kumpulan itu.

Sebelum ini, KedahNews.com ada menyiarkan kenyataan penyanyi kumpulan Wings, Awie yang berasa kesal menjalinkan kerjasama dengan pihak KRU Music dalam pembikinan album terbaru mereka dan menganggap pihak tersebut langsung tidak mengambil peduli terhadap apa yang berlaku.

Mengulas kenyataan itu, Norman berkata pihaknya sebelum ini sudah membuat laporan polis malah telah membawa kes tersebut kepada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya.

“Kami telah membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini.


“Malah laporan ke KPDNKK melalui RIM telah dibuat pada April lagi, sebelum pihak Wings sendiri membuat laporan polis.



“Buat masa sekarang, kami sedang menanti tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa,” ulasnya.
Sementara itu, Norman enggan mengulas mengenai kenyaatan Awie berhubung  kekesalan penyanyi itu berkerjasama dengan pihak KRU Music dalam pembikinan albul mereka dan menyatakan Wings hanya mempunyai kontrak dalam penghasilan satu album sahaja.

“Mengenai hal ini, saya memang tidak mahu memberi sebarang kenyataan lebih lanjut tentang masalah dalaman yang berlaku antara pihak kami dengan mana-mana artis lain atau kakitangan pihak kami sendiri.


“Lagi pun kontrak kami bersama Wings hanyalah untuk satu album sahaja,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Norman menegaskan pihaknya kini sedang giat mempromosikan lagu-lagu dalam album tersebut yang mendapat sambuatan yang mengalakkan daripada para peminat. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor