ALOR SETAR – Di kala umat Islam menyambut kedatangan Ramadan dengan
melakukan solat Tarawih dan amal ibadat, lain pula yang terjadi di Alor
Setar, Kedah.
Seorang model sambilan dicekup berkhalwat bersama pasangannya di sebuah hotel di Lebuhraya Darulaman, Alor Setar, malam tadi.
Wanita berusia 24 tahun itu dipercayai berasal dari Selangor
dikatakan datang ke Kedah semata-mata untuk menemui kekasihnya yang
berusia 25 tahun yang menetap di Langgar, Alor Setar.
Menurut pasangan itu mereka bercadang untuk berkahwin pada penghujung
tahun ini dan memberi alasan mereka sedang bersiap untuk menonton bola
sepak Piala Dunia di sebuah restoran 24 jam sebelum mereka dicekup
berkhalwat.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Agama
Islam Kedah (JAIK), Syeikh Mohd Roshidi Mahmud yang mengetuai operasi
itu berkata, pasangan itu ditahan dalam operasi bermula jam 11 malam
hingga 2 pagi tadi.
Hasil soal siasat, pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan yang sah.
Dalam serbuan berasingan di sebuah hotel di Jalan Putra, anggota JAIK turut menahan beberapa pasangan lain.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Majlis Agama Islam Kota Setar untuk
disiasat dan direkod keterangan, sebelum dibebaskan dengan jaminan
keluarga.
Mohd Roshidi berkata, pihaknya akan meneruskan operasi membanteras
kegiatan maksiat walaupun pada bulan puasa untuk membendung gejala tidak
bermoral di kalangan remaja dan umat Islam di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya orang ramai tidak mengambil
kesempatan melakukan maksiat di bulan Ramadan ini kerana anggotanya akan
terus bertugas setiap hari.