Akibat 'khayal' hingga menendang pintu rumah, seorang remaja lelaki
dijatuhi hukuman penjara lapan hari oleh Mahkamah Majistret di sini
Rabu.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap
Muhamad Amirul Abu Bakar, 19 selepas dia mengaku bersalah melakukan
kesalahan itu sehingga pintu rumah milik Fadziatul Fasha Fadzil, 28,
pecah dan menyebabkan kerugian RM200.
Muhamad Amirul yang bekerja sebagai jurujual didakwa bertindak
demikian di Flat No 407, Blok D 14, Seksyen 1, Wangsa Maju di sini jam
lebih kurang pukul 9 malam, 19 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu
mahkamah bahawa dia berada dalam keadaan khayal dan tidak sedar sewaktu
melakukan kesalahan itu.
Katanya dia seolah-olah terdengar orang meminta tolong dan ia mendorong tertuduh menendang pintu rumah mangsa.
Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean
Ling, ketika kejadian Fadziatul sedang membasuh pinggan dan terkejut
apabila terdengar bunyi seperti orang menendang pintu rumahnya. -Mstar