PAS Ucap Terima Kasih Pada PM Ambil Berat Hadi Awang

KUALA LUMPUR – PAS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membantu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menghadapi masalah kesihatan semasa berada di Istanbul, Turki baru-baru ini.

Penolong Setiausaha Agungnya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, PAS turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengggunakan hubungan diplomasi memudahkan urusan Abdul Hadi menerima rawatan di negara itu.

“Dirakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang menggunakan ruangan diplomasi sama ada antara kerajaan dengan kerajaan ataupun hubungan politik antara parti dengan parti bagi memudahkan urusan Abdul Hadi.

“Untuk makluman rakyat Malaysia amnya, tahap kesihatan Presiden PAS semangkin baik dan beliau ditemani Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang sentiasa melaporkan tahap kesihatan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Media semalam melaporkan Najib meminta Pejabat Kedutaan Malaysia di Turki supaya memberikan bantuan sewajarnya kepada Presiden PAS yang dirawat di sebuah hospital di Istanbul ekoran sesak nafas.

Menurut Perdana Menteri, pihaknya telah menghubungi pejabat kedutaan tersebut selepas mendapat perkhabaran itu. -KedahNews.com