Johor Bharu, 16 Jun – Seorang pelajar
perempuan tahun satu meninggal dunia apabila dilanggar oleh sebuah bas yang
dinaikinya ke sekolah di Jalan Seroja, Taman Plentong Baru di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam
1.10 tengahari semalam, apabila mangsa, Nur Balqis Atiqah Hamdan Rasan Tawani
Ahmad, 7, yang baru turun dari bas berkenaan melintas jalan untuk pulang ke
rumahnya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam,
Supritenden Abd Samad Salleh berkata, pemandu bas mini tidak menyedari mangsa
yang baru turun dari kenderaan tersebut berada di hadapannya lalu terus
melanggar kanak-kanak tersebut.
“Dipercayai
selepas menurunkan Nor Balqis Atiqah, pemandu bas mini sekolah berkenaan terus
bergerak menuju ke hadapan tanpa menyedari murid perempuan itu berada di
hadapan basnya.
“Selepas
mendengar jeritan orang ramai, pemandu bas terbabit keluar untuk memeriksa
keadaan dan mendapati mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya
2 sudah terbaring di atas jalan raya di belakang kanan bas,” katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Nur
Balqis Atiqah yang mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan telah
disahkan meninggal dunia setelah dua jam mendapat rawatan di Hospital Sultan
Ismail.
Sementara
itu, bapa saudara mangsa, Sulaiman
Ibrahim, 48, yang ditemui di rumah mayat berkata, dia menerima panggilan
mengenai kejadian yang menimpa mangsa pada jam 2.00 petang setelah menerima
panggilan daripada ibu kanak-kanak tersebut, Noraini Husin, 31.
"Saya masih terkejut dan tidak menyangka kejadian seumpama
ini menimpa anak saudara saya.
"Pemandu bas tersebut sepatutnya kena berwaspada dan memastikan murid-murid selamat sampai ke rumah sebelum menggerakkan kenderaannya," katanya.
"Pemandu bas tersebut sepatutnya kena berwaspada dan memastikan murid-murid selamat sampai ke rumah sebelum menggerakkan kenderaannya," katanya.
Menurut Sulaiman, bapa Nor Balqis Atiqah yang bekerja di
sebuah syarikat perkapalan kini berada di Filipina.
Pemandu bas berkenaan, seorang wanita berusia 40-an telah
membuat satu laporan polis berhubung insiden yang telah berlaku dan kes akan
disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan
1987. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor