Alor Setar, 9 Jun – Seorang remaja
perempuan berusia 17 tahun dilaporkan telah hilang dari rumah sejak 1 Jun yang
lalu dipercayai mengikut teman lelakinya.
Remaja yang bakal menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, Nor Azlin Azelan, yang
tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Jalan Bunga Raya dekat sini didapati
tidak pulang ke rumah selepas keluar awal pagi pada hari kejadian.
Menurut bapa tirinya, Che Ahmad
Din, 54, Nor Azlin tidak pulang ke rumah
selepas dia dipercayai memanjat pagar untuk keluar dengan menaiki sebuah kereta
yang dipandu oleh seorang lelaki pada jam 3.00 pagi.
“Kehilangan Nor Azlin disedari
ibunya, Sabarashah Musa, 47, apabila dia tiada di dalam bilik. Saya diberitahu
oleh jiran yang melihat anak kami ada memanjat pagar rumah dan menaikin sebuah
kereta yang sedia menunggu di hadapan rumah.
“Dia keluar sehelai sepinggang cuma membawa kad
pengenalan dan telefon bimbit. Saya cuba menghubungi telefonnya tetapi tidak
dijawab. Sudah puas saya mencarinya termasuk pergi ke Kuala Lumpur namun gagal
dikesan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Che Ahmad berkata, mereka seolah-olah tidak percaya Nor
Azlin akan bertindak demikian kerana remaja itu yang bersekolah di Sekolah
Menengah Seberang Perak merupakan seorang anak yang baik serta
bertanggungjawab.
“Nor Azlin anak yang baik dan suka bergurau dengan kami
sekeluarga. Kami berharap dia akan pulang dengan segera ke pangkuan keluarga
kerana keadaan kesihatan ibunya tidak berapa baik disebabkan terlalu merindukan
dia.
“Kami tidak tahu punca sebenar tindakannya. Kami
berharap jika terdapat salah faham yang berlaku ia dapat diselesaikan dengan
baik,” katanya lagi.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah (IPD)
Kota Setar oleh Che Ahmad kerana bimbang mengenai keselamatan anaknya itu. –KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor