Pelayar Britain Dakwa Lihat MH370 Terbakar

Pelayar Britain dakwa nampak MH370

Phuket, 5 Jun – Seorang pelayar wanita warga Britain mendakwa melihat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di lautan Hindi ketika berlayar merentasi lautan tersebut.

Katherine Tee, 41, mendakwa melihat pesawat yang dipercayai MH370 ketika dia melakukan pelayaran merentasi lautan Hindi dari India ke Phuket dan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa negara berkenaan baru-baru ini kerana bimbang aduannya itu tidak akan diberi perhatian serius oleh pihak tersebut.

Katherine berkata, ketika kejadian yang dilaporkan pada waktu malam dia sedang membuat pemantauan di atas kapal dan krew yang lain termasuk suaminya, Marc Horn, 50 sedang tidur di bawah dek kapal.
"Saya melihat sesuatu yang kelihatan seperti kapal terbang terbakar.

"Kemudian, saya fikir saya mesti gila... Ia menarik perhatian saya kerana saya tidak pernah melihat kapal terbang dengan lampu oren sebelum ini, jadi saya tertanya-tanya apakah ia." katannya yang dipetik dari Phuket Gazette.

Menurutnya lagi, semasa kejadian dia melihat garis asap hitam yang terhasil dari belakang pesawat dan mendakwa terdapat dua buah pesawat dari arah bertentangan kelihatan pada malam itu.

“Sekurang-kurangnya ada dua pesawat terbang melalui ruang udara dari arah bertentangan pada masa itu, saya fikir mungkin pesawat lain mungkin melihat kebakaran yang terjadi pada badan pesawat tersebut dan melaporkannya serta-merta,” jelasnya lagi.

Apabila berita mengenai kehilangan pesawat MH370 di siarkan melalui media, dia dan suaminya bertindak menyemak log laluan mereka dan menyedari kemungkinan objek yang dilihat terbakar pada malam itu adalah MH370.

“Kami melihat semula data perjalanan yang telah kami rekodkan sejak awal dan salah satu laluan laut yang kami lalui hampir sama dengan laluan udara di mana pesawat tersebut dilaporkan hilang,” kata Tee.

Sementara itu, Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC), yang mengetuai pencarian MH370 belum mengesahkan mengenai laporan yang dibuat oleh pasangan berkenaan.

Pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing masih menjadi misteri kerana tiada sebarang petanda yang diperolehi hingga kini sejak ia dilaporkan hilang. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor