Setiap Muslim bertanggungjawab pilih pemerintah
berakhlak, adil, ikhlas laksana amanah.
SAYID Sabid pernah berkata: “Mendirikan pemerintahan
adalah wajib. Kita dilarang melengah serta melalaikan persoalan itu. Islam
memberi pengertian pemerintahan adalah pelindung agama Allah dan pelaksana
politik umat manusia”.
Mengingati pentingnya pemerintahan, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Siapa yang mati sedang di lehernya tidak ada
pemilihan terhadap seorang pemimpin, maka matinya itu dalam kejahilan.”
Rasulullah SAW ialah pemimpin sepanjang hayat. Namun,
selepas Baginda wafat, demi menjaga kepentingan dan kelangsungan pemerintahan
yang stabil, sahabat segera berkumpul untuk memilih pemimpin. Melantik pemimpin
untuk membentuk pemerintahan adalah kewajipan. Tidak ada seorang pun sahabat
menafikan perlunya pemimpin.
Pemimpin ialah orang yang boleh dipercayai,
berintegriti serta baik akhlak. Selain bijak dan cekap, dia juga
bertanggungjawab, berani dan jujur untuk memperbaiki setiap kelemahan serta
kesilapannya.
Seseorang yang diberi amanat serta kedudukan tertinggi
di kalangan rakyat harus menunaikan tanggungjawab demi kemakmuran dan
kesejahteraan umat. Ia berkewajipan menyediakan segala kemudahan, bukan
menyalahgunakannya untuk kepuasan dirinya.
Rasulullah SAW pernah menegaskan dalam sabda yang
bermaksud: “Tidak ada seorang yang diserah urusan rakyat oleh Allah, dia mati
di kala matinya berkhidmat kepada rakyat, maka Allah mengharamkan atasnya
neraka.”
Justeru, sebagai orang ramai, kita perlu membuat
pemilihan tepat dan wajar dengan memilih pemimpin atau wakil yang mampu memikul
tugas serta tanggungjawab, bukan seorang yang hanya tahu bercakap, tetapi tidak
berbuat apa yang dicakapkan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang beriman,
mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan. Besar benar dosanya
di sisi Allah kalau kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan.” (Surah
al-Munafiqun, ayat 1-2)
Pemerintahan wajib diserahkan kepada orang yang
dipercayai, jujur, adil, baik, sempurna dan dijamin kebaikannya, cekap tabah,
bertanggungjawab membangun umat serta melindungi hak mereka seperti ia
melindungi haknya sendiri.
Al-Tabrani pernah meriwayatkan daripada Ibnu Abas
bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang pun daripada
umatku yang diserah untuk memegang pimpinan urusan kaum Muslimin, kemudian ia
tidak melindungi hak mereka seperti melindungi haknya, melainkan nanti ia tidak
akan dapat merasakan kenikmatan bau syurga.”
Sabda Baginda lagi bermaksud: “Ia adalah amanat. Ia
adalah menyebabkan malu dan menyesal di hari kiamat melainkan orang yang dapat
menepati haknya dan menunaikannya seperti mana semestinya.”
Umar al-Khatab juga berkata: “Demi Allah andai kata ada
seekor kuda yang tergelincir di Iraq, nescaya saya takut jika Allah akan
meminta pertanggungjawaban daripadaku, mengapa jalan di sana tidak saya ratakan
atau tidak saya perbaiki jika rosak.”
Kepemimpinan yang berani dan bertanggungjawab akan
dihormati oleh kawan dan lawan. Hati rakyat menjadi cinta gembira dan mudah
tertawan. Semua lidah pasti mendoakan kebaikan dan keselamatannya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik pemimpinmu
ialah yang mencintai kamu dan kamu mencintainya, yang mendoakan kebaikanmu dan
kamu pun mendoakan kebaikannya, sedang seburuk-buruk pemimpin ialah yang
membencimu dan kamu juga membencinya, melaknati kamu dan kamu pun
melaknatinya.”
Sabda Baginda lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang taat
kepadaku, maka ia taat kepada Allah. Sesiapa yang menderhakaiku, maka ia
menderhaka kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada pemerintah maka ia taat
kepadaku. Pemimpin bagaikan perisai, pengikutnya berperang di belakangnya dan
berlindung dengannya.”
Nabi Muhammad SAW dan Khulafa al-Rasyidin adalah contoh
pemimpin yang baik. Mereka bukan saja dihormati atau disegani oleh umatnya
tetapi juga oleh musuh.
Mereka dihormati kawan dan lawan kerana memiliki sifat
yang baik, tidak angkuh, tidak mementingkan diri apalagi rasuah dan
menyalahgunakan kuasa.
Oleh itu, kita harus menyokong dan menolong serta
menjaga kepemimpinan mukmin yang melindungi ketinggian agama dan kebajikan
negara demi kemakmuran hidup rakyat keseluruhannya.
Sumber: Berita Harian