Pemulihan MAS Perlu Sokongan

Banyak pihak tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku dalam Penerbangan Malaysia (MAS)? Selepas pengumuman prestasi kewangan tidak memberangsangkan, timbul pula pelbagai spekulasi termasuk operasi syarikat penerbangan itu mungkin ditutup. Pada waktu yang sama Kesatuan Pekerja Kakitangan MAS (MASEU) pula bersungguh-sungguh berjuang supaya Ahmad Jauhari Yahya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS.

Selepas kerajaan mengambil alih semula MAS daripada Tan Sri Tajudin Ramli yang menguasainya pada 1994-2001, MAS terus berdepan dengan kesukaran dan masalah kritikal. 

MAS sudah mewarisi kerugian yang berpanjangan, ditimpa pula insiden kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014. Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, tetapi syarikat penerbangan kebangsaan itu terus diberi tekanan pihak dalaman.

Tidak tahu pihak mana yang betul, pihak mana yang hendak dipersalahkan. Tapi yang menjadi persoalan, apakah hasrat MASEU? Semua pihak jika boleh tidak mahu berdepan dengan masalah besar.

Soalnya, betulkah pentadbiran Ahmad Jauhari lemah atau kewangan MAS sememangnya telah teruk sehingga mengambil masa untuk dipulihkan semula? 

Adakah benar MAS mahu membuang pekerja dan melupuskan MAS Aerospace Engineering Sendirian Berhad (MAE), sedangkan pada masa yang sama syarikat itu kekurangan pekerja dalam sektor tertentu dan MAE pula pendukung utama bisnes MAS?

Mengapa MASEU cuba melobi Datuk Seri Idris Jala untuk menggantikan tempat Ahmad Jauhari dan meminta Khazanah Nasional Berhad melepaskan pegangan dalam MAS? Khazanah ketika ini menguasai 69.4 peratus kepentingan MAS.

Jika Idris seorang penyelesai masalah yang cukup bagus, mengapa MAS terus bergelut dengan masalah kewangan tidak lama selepas beliau meninggalkan syarikat penerbangan udara itu?

Setakat ini hanya MASEU sahaja yang didapati menentang pengurusan MAS, tidak kepada kesatuan yang lain. MAS mempunyai empat kesatuan sekerja dan empat pertubuhan pekerja.

Seperti kata MASEU, syarikat penerbangan itu tidak mahu lagi dijadikan pentas trial and error oleh kerajaan mahupun Khazanah. Jika demikian, kenapa tidak beri peluang kepada pengurusan sedia ada dahulu sehingga tempoh pelaksanaan pelan pemulihan berakhir?

Pelan Pemulihan MAS yang dimulakan pada 2011 berjaya mengurangkan kerugian bersihnya pada tahun kewangan 2012 kepada RM432.58 juta berbanding RM2.523 bilion. Namun prestasi itu tidak dapat dikekalkan apabila mengalami kerugian tahunan terburuk pada tahun lalu kepada RM1.17 bilion. 

Seorang penganalisis tempatan berkata, kerugian MAS sebenarnya bukan semata-mata disebabkan barisan pengurusan tetapi syarikat itu mewarisi hutang yang besar, turun naik harga minyak, penurunan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, persaingan harga tiket dengan syarikat penerbangan tambang rendah dan misteri kehilangan MH370 adalah kemuncaknya.

Jangan lupa masalah yang diwarisi Ahmad Jauhari sekarang adalah daripada kepimpinan MAS yang terdahulu.

Begitulah nasib syarikat penerbangan negara kita, walaupun dengan bantuan dana yang disalurkan kerajaan, ia masih belum mampu untuk kembali mencatat keuntungan. 

Di samping itu pula MASEU mendesak kerajaan memenuhi permintaan mereka demi kebaikan syarikat yang menaungi 19,406 kakitangan dengan andaian MAS berhak terus mendapat bantuan kerajaan.

MASEU mungkin sudah lupa bahawa Khazanah sudah pun menyuntik RM5 bilion kepada syarikat penerbangan yang sakit itu sejak 10 tahun lalu dan MAS masih terus ‘membakar’ kira-kira RM5 juta sehari. Kalau wang itu dibelanjakan untuk pembangunan penjagaan kesihatan, pembinaan lebuh raya, biasiswa atau kemudahan awam, sudah tentu ia dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Pendirian MASEU

Baru-baru ini MASEU mengulangi pendirian memohon campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi peluang kepada kakitangan MAS yang pakar serta berpengalaman untuk menerajui syarikat penerbangan tersebut.

Permintaan itu haruskah diterima sepenuhnya dan wajar dilayan. Wajarkah MASEU mengugut negara sedangkan syarikat penerbangan negara itu sudah terluka dengan teruk?

MAS menghadapi masalah yang serius dan MASEU nampaknya hanya mampu memikirkan untuk melindungi kepentingan hak ahli mereka, hingga lupa tentang pembayar cukai yang terpaksa membiayai ‘kos rawatan’ untuk mereka.

MASEU yang dianggotai oleh 13,500 orang kakitangan MAS dilaporkan tidak akan berdiam diri selagi peneraju syarikat penerbangan itu dan Pengarah Modal Insan MAS, serta Ketua Pegawai Eksekutif MAS Engineering tidak melepaskan jawatan mereka.

Pelan pemulihan tidak akan berhasil jika tiada sikap tolak ansur dalam kalangan MASEU dan MAS. Langkah-langkah drastik diperlukan bagi menyelamatkan MAS. Jika tidak, lebih banyak wang pembayar cukai digunakan untuk menyelamat MAS daripada ‘tenggelam lemas’ dalam persaingan industri penerbangan awam sekarang.

Jadi tidak elok MASEU bertindak balas dengan ancaman mengadakan piket atau mogok.
MAS sebenarnya sedang sakit dan memerlukan ubat. Tuntutan yang tidak munasabah akan menenggelamkan lagi kedudukan syarikat ini. 

Tindakan membantu kewangan MAS dan mengekalkan status quo kepada kesatuan sekerja umpama mengekalkan subsidi, sedangkan seluruh negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan subsidi.
Bersyukurlah kerana MAS masih mempunyai dana untuk terus ‘terbang’ sehingga tahun hadapan.

Berdoalah supaya awan mendung yang menghalang pandangan MAS berlalu pergi supaya ia dapat terbang dengan bebas.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar pada 10 Jun lalu berkata pihaknya akan mengemukakan pelan perniagaan baharu untuk memulihkan semula kedudukan MAS dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan lagi.

Dalam jangka terdekat iaitu 12 bulan, MAS mempunyai modal mencukupi untuk terus beroperasi. Opsyen yang ada sama ada untuk menjual, memfailkan kebankrapan, atau menyuntik lebih banyak dana, semuanya terus dikaji.

Pada masa dan ketika ini, adalah masih terlalu awal untuk menyatakan apakah opsyen yang akan digunakan. 

Sesungguhnya ada zaman MAS mengaut keuntungan dan ada masa MAS rugi.

AirAsia X pun berdepan kerugian RM218 juta pada 2013, yang mungkin orang terlepas pandang kerana asyik memuji Tan Sri Tony Fernandez.

Thai Airways juga rugi 12 bilion bath pada tahun lalu, tapi ini bukan alasan untuk MAS terus rugi, tapi kajian adil perlu dibuat.

Pengurangan kos

Beberapa ahli ekonomi termasuk bekas Ketua Kumpulan Ekonomi dan Pengurus Besar Kanan RAM Holdings Berhad, Dr. Yeah Kim Leng menegaskan MAS sudah tentu mampu pulih dengan mengambil langkah-langkah drastik terutamanya melalui pengurangan kos atau perbelanjaan.

Ahli ekonomi Universiti Taylor, Subramaniam Pillai menyokong pandangan Kim Leng dengan berkata, masalah utama MAS ialah kos operasi yang tinggi. Dua faktor menyumbang kos tinggi itu kata Subramaniam ialah pertambahan guna tenaga dan perjanjian kontrak jangka panjang tentang kenaikan gaji pada 1990-an.

Bagaimanapun kata Subramaniam; “"Saya tidak fikir pengurangan guna tenaga dapat dilakukan sebab kesatuan sekerjanya kuat. Tak banyak yang MAS dapat lakukan terhadap masalah ini."

Kunci utama untuk pemulihan MAS ialah pengurangan perbelanjaan. Penganalisis menjangkakan penjimatan kos sebanyak RM1 bilion pada tahun ini memerlukan pengurangan dari segi tenaga kerja yang besar, tambahan pula untuk meningkatkan tahap produktiviti.

Bagi pengurusan atasan MAS, inilah masanya bagi mereka memikirkan dan membuat keputusan tidak popular jika terpaksa demi merealisasikan rancangan pemulihan MAS. -Utusan