Petaling Jaya - Bunyinya seperti lucu tetapi itulah
hakikatnya apabila seorang pengarah drama ditertawakan dan dihina
gara-gara menerima tawaran mengarah sebuah telefilem yang dilakonkan
seekor beruk.
Pengarah berkenaan Shuhaimi Lua Abdullah, 39, berkata, dia rasa terhina
apabila pihak berkenaan sanggup memperkecilkan bakatnya selepas dia
mendapat tawaran mengarahkan telefilem bejudul Beruk Tok Ayah.
“Ada orang mentertawakan bakat saya selepas saya mengambil peluang
mengarah drama yang mana beruk adalah ‘pelakon’ utamanya,” jelas
Shuhaimi kepada mStar Online ketika dihubungi baru-baru ini.
Drama Beruk Tok Ayah ayah bakal menemui penonton menerusi slot Cerekarama di TV3 pada Sabtu ini pukul 10 malam sempena sambutan Hari Bapa.
Ia membariskan pelakon Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su, Syafie Naswip, Intan Ladyana dan Keena (Mentor).
Penggambaran drama ini dilakukan di Kota Bharu, Kelantan manakala skripnya ditulis oleh MF Kencana.
Jelas Suhaimi, bukan mudah untuk dia mengarahkan sebuah drama yang
dilakonkan oleh haiwan yang tidak terlatih seperti seekor beruk kerana
ia memerlukan kesabaran yang tinggi.
Malah katanya, adegan yang dikehendaki dalam skrip iaitu beruk berkenaan
perlu mengambil tisu untuk diberikan kepada tuannya yang sedang
menangis terpaksa ditiadakan kerana haiwan berkenaan tidak boleh berbuat
demikian walaupun telah diajar.
Kata Shuhaimi, dia terpaksa menggunakan kreativiti lain bagi membolehkan
watak beruk yang bernama Comel itu benar-benar hidup agar drama
berkenaan mencapai sasarannya.
“Kepada sesiapa yang nak ketawakan saya tu, cubalah arahkan drama atau
filem melibatkan haiwan. Ia bukan perkara mudah. Jadi, ketawalah pada
diri sendiri dahulu,” katanya.
Dalam pada itu Shuhaimi berkata, dia percaya ada pihak yang cemburu
dengan peluangnya itu apatahlagi karya berkenaan mendapat slot untuk
tayangan pada waktu perdana di TV3.
Beruk Tok Ayah mengisahkan pengorbanan seorang bapa bernama Tok Ayah (lakonan Wan Hanafi Su) yang hidup kesunyian selepas kematian isteri.
Bagi mengubat kesunyiannya, seekor beruk bernama Comel dijadikan peneman dan sumber rezeki untuk memetik buah kelapa.
Tok Ayah dimusuhi oleh anak sendiri iaitu Hisham (Zamarul Hisham) yang mengangap beruk berkenaan membawa sial kerana menjadi punca kematian ibunya.
Sumber: Mstar