Kuala
Lumpur, 22 Jun – “Saya cuba mohon dengan mahkamah untuk bayar RM100 sebulan
kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sekarang hanya bekerja
sebagai nelayan,” kata pengendali blog Papa Gomo selepas Mahkamah Tinggi
menolak permohonannya untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi sebanyak
RM800,000.
Wan
Muhammad Azri Wan Deris (Papa Gomo) berkata demikian kepada pemberita di luar
mahkamah dan turut memberitahu bahawa telah menjual saham miliknya di KL POS
Media & Production Sdn Bhd.
Katanya
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rosilah Yop bagaimanapun menasihatkan
beliau supaya berbincang perkara itu dengan Anwar sendiri.
Hari
ini Rosilah menolak permohonan Wan Muhammad Azri dengan kos RM5,000, di dalam
kamar dengan dihadiri peguam Shahid Adli yang mewakili Anwar dan Wan Muhammad
Azri, yang mewakili diri sendiri.
Shahid
berkata Rosilah membuat keputusan itu atas alasan tiada sebab untuk membenarkan
penangguhan.
Tambahnya,
rayuan Wan Muhammad Azri terhadap keputusan Rosilah yang memerintahkan ganti
rugi RM800,000 dan kos RM50,000 telah ditetapkan pada 24 Jun untuk pengurusan
kes di depan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan.
Pada
28 Feb, Rosilah memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi sebanyak
RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar berhubung penyiaran perkataan fitnah
dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.
Dalam
penghakimannya, Rosilah berkata daripada keterangan yang dikemukakan, beliau
mendapati Wan Muhammad Azri ialah blogger Papa Gomo dan telah menerbitkan
kenyataan memfitnah dalam blognya.
Anwar
memfailkan saman terhadap Wan Muhamamad Azri pada 21 Mac tahun lepas dengan
menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri
menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19
dan 20 Mac 2013.
Sumber – BERNAMA