Pengkhianat Surau Terima Padah!

Nilai - Tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 23 tahun yang disyaki mabuk ditahan polis selepas melakukan perbuatan khianat dengan merempuh pagar menggunakan van dan merosakkan cermin tingkap Surau D'Palma, Mantin di sini, kira-kira 9.30 pagi semalam.

Sumber berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu berlaku apabila kelapan-lapan suspek minum arak di sebuah pondok berhampiran surau berkenaan sebelum ditegur seorang jemaah surau yang sedang membaik pulih ruang ibadat itu.

Katanya, berikutan marah teguran jemaah itu, kesemua suspek dipercayai mabuk itu masuk ke dalam sebuah sebuah van dan merempuh pintu pagar surau terbabit menyebabkannya rosak.
"Tidak cukup dengan itu suspek turut membaling botol arak dan batu ke arah cermin tingkap surau sebelum menghamburkan kata kata kesat kepada jemaah terbabit. 

"Akibat balingan itu, cermin tingkap yang pecah mengenai tangan kiri jemaah berusia 40-an itu dan menyebabkannya cedera," katanya. 

Menurut sumber, lima daripada suspek terbabit datang dari Sungai Petani, Kedah bagi menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Apartmen D' Palma, Mantin, hari ini.

"Lima suspek terbabit ditemani tiga lagi saudara mereka minum arak di sebuah pondok berhampiran surau dan apartmen itu sebelum membuat kacau," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tujuh suspek lelaki terbabit positif ganja dan memiliki rekod jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dan mencemarkan tempat sembahyang.

Sumber: MyMetro