GEORGETOWN – Dua peniaga hari ini menafikan dakwaan mereka terlibat
dalam kes anggota Unit Rondaan Bermotosikal Lans Koperal Mohd Azuan
Abdullah, 25, yang meninggal dunia selepas motosikalnya dirempuh kereta
penjenayah di Parit Buntar, Perak 26 Mei lepas.
Peniaga pakaian, Azhar Ramli, 40, berkata beliau berada di rumahnya
di Taman Cenderawasih, Butterworth dekat sini ketika kes itu berlaku dan
terkejut apabila diberitahu gambarnya tersebar meluas di laman sosial
sebagai suspek yang dikehendaki polis sehari selepas kejadian.
“Adik ipar (lelaki) saya yang beritahu. Dalam Whatsapp dan Wechat pun
orang ada sebar juga. Paling menyedihkan ialah apabila pengguna
facebook dan bloggers hentam, maki hamun dah ugut kami macam-macam,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu peniaga barangan lusuh Mohd Nizam Ali Hassan, 39,
berkata walaupun laporan polis telah dibuat pada 27 Mei lepas gambar
mereka terus dikongsi pengguna laman sosial dan masih menerima komen
negatif berunsur ugutan sehingga ke hari ini.
Beliau berkata hidupnya kini tidak tenteram dan bimbang keselamatan
keluarganya terancam apabila gambar yang tersebar turut mempunyai alamat
lengkap rumahnya.
Pada 28 Mei lepas, Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan
menafikan pihaknya ada mengeluarkan gambar dua peniaga berkenaan dan
mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak
disahkan terlebih dulu.
Azhar dan Mohd Nizam berkata mereka mengenali antara satu sama lain
sejak kecil dan hairan bagaimana boleh dikaitkan dengan kes itu
sedangkan mereka mendakwa tidak pernah memiliki kereta Toyota Wish
seperti digunakan penjenayah terbabit.
Mereka berdua turut meminta pihak berkuasa menyiasat jika terdapat
penglibatan pihak polis sendiri dalam penyiaran gambar berkenaan dan
mempersoalkan bagaimana maklumat peribadi sedemikian boleh didedahkan
sewenang-wenangnya. – BERNAMA