Gambar Hiasan
Sabak Bernam, 17 Jun – Seorang lelaki
maut apabila motosikal yang ditunganginya telah merempuh sebuah kereta Gen 2 di
kilometer 53, Simpang Empat Sungai Haji Dorani, lewat petang semalam.
Dalam kejadian yang berlaku jam
6.40 petang itu, mangsa, Mohd Hafizuddin Abd Halim,20, yang menunggang
motosikal Modenas Kriss mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan
meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam,
Supritendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa yang beralamat di Batu 8 Sungai
Limau, Sungai Besar dipercayai dari arah Sekinchan menuju ke Sungai Besar telah
hilang kawalan apabila sebuah kereta memasuki ke simpang terbabit lalu melanggar
bahagian depan sebelah kiri kenderaan terbabit.
“Pemandu kereta itu, yang dikenali sebagai Nurmaisarah
Mesoven, 20, dipercayai dari Sungai Besar ingin menuju ke sebuah resort
berhampiran.
“Hasil siasatan polis mendapati, pemandu kereta sebelum
itu memberi isyarat signal dan memberhentikan kenderaannya untuk ke arah kanan
jalan dan menuju ke resort tersebut,” katanya.
Hasil bedah siasat yang dijalankan, mangsa telah
meninggal pada jam 11.00 malam akibat mengalami pendarahan teruk di bahagian
kepala.
Pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang
kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan
(APJ) 1987. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor