Sekeping gambar cukup bermakna telah dirakam memaparkan seorang penyokong skuad bolasepak Jepun sedang leka mengutip dan memasukkan sampah ke dalam beg plastik berwarna biru di sebuah stadium Arena das Natas, Natal.
Budaya mengamalkan kebersihan seperti itu dibawa dari Jepun hingga ke Brazil menunjukkan amalan menjaga kebersihan yang tidak mengenal batas dan sempadan negara.
Meskipun hanya berkeputusan seri tanpa jaringan, kumpulan penyokong itu tetap melakukan ‘operasi pembersihan’ selepas perlawanan melibatkan skuad bola sepak negara mereka menentang Greece berakhir.
Usaha dan sikap para penyokong Jepun itu turut mendapat pujian dari pengamal media sosial dari seluruh dunia.
Dilaporkan juga bahawa aktiviti pembersihan stadium itu juga dilakukan para penyokong Jepun selepas perlawanan pertama pasukan negara mereka menentang Ivory Coast yang berkesudahan dengan kekalahan Jepun, jaringan 1-2.
KedahNews.com tertanya-tanya, bilakah pula para penyokong bolasepak di Malaysia akan mengambil inisiatif sebagaimana penyokong bolasepak negara Matahari Terbit itu?
Kadangkala, rumah kita sendiri pun tunggang-langgang, hisap rokok puntungnya dibuang sesuka hati, pembalut aiskrim pula membanjiri longkang di depan halaman, sampah pula seolah-olah tidak terjaga, bagaimana hendak membersihkan sampah di stadium?
Hakikat apa yang diamalkan oleh para penyokong bolasepak Jepun itu adalah merupakan salah satu tuntutan di dalam cara hidup seorang yang beragama Islam dan menghayati ajaran Rasulullah SAW.
Kita wajar berasa malu apabila para penyokong bolasepak Jepun yang berkemungkinan besar bukan beragama Islam lebih komited melaksanakan apa yang diajar oleh agama Islam.
Apa pula kata anda? -KedahNews.com