SHAH ALAM – Pahang berjaya menamatkan kemarau selama lapan tahun bagi
menjulang Piala FA buat kali kedua selepas mengalahkan Felda United FC
(FUFC) 2-1 pada final di Stadium Shah Alam, malam Sabtu.
Penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme muncul wira skuad
‘Tok Gajah’ selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-88 selepas
kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.
Skuad ‘Tok Gajah’, yang juga penyandang juara Piala Malaysia, muncul
juara buat kali pertama pada 2006 selepas mengalahkan Perlis 4-2
menerusi penentuan penalti selepas terikat 0-0 selepas 120 minit
perlawanan.
Pada pertemuan dengan FUFC, Pahang bermula garang menerusi percubaan Dickson seawal minit keenam yang melepasi palang gol lawan.
Kelekaan barisan pertahanan skuad ‘Tok Gajah’ membawa padah apabila
penyerang berbisa skuad ‘The Fighters’, Edward Junior Wilson membuka
tirai jaringan pada minit ke-22, sekali gus menceriakan hampir 10,000
penyokong mereka.
Tersentak dengan gol tersebut, pasukan Pahang kendalian Zainal Abidin
Hassan kembali memperkemaskan permainan dan hampir menyamakan kedudukan
pada minit ke-38 namun tandukan Azidan Sarudin hasil hantaran Azamuddin
Mohd Akil, sekadar singgah di palang gol Felda United FC.
Bersambung babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan saling mengasak
ke kubu masing-masing dan namun nasib lebih menyebelahi Pahang yang
berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol pemain gantian, Mohd Faizol
Hussein pada minit ke-79, sekali gus menceriakan hampir 50,000 penyokong
skuad ‘Tok Gajah’.
Nwakaeme mengesahkan Piala FA menjadi milik Pahang buat kali kedua
selepas meledak gol kemenangan selepas menyempurnakan hantaran rakan
sepasukan.
Kejayaan tersebut lebih manis untuk skuad ‘Tok Gajah’ selepas Mohd Faizol dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
Trofi Piala FA disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang
(PBNP), yang juga Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad
Shah kepada kapten pasukan Pahang, Mohd Razman Roslan. – BERNAMA