Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengaku pihaknya terpaksa menelan bulat-bulat cercaan dari mana-mana pihak terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung pertikaian hak penjagaan anak.
Menurutnya, PDRM terpaksa membuat keputusan untuk tidak menguatkuasakan
keputusan Mahkamah Sivil dalam kes membabitkan tuntutan hak penjagaan anak apabila salah seorang dari ibu atau bapa kepada anak itu memeluk agama Islam.
"Saya telah membuat pendirian dan polis akan berpegang dengan pendirian
itu. Saya tidak boleh berbuat apa-apa jika ada orang di luar sana yang
mencerca polis," katanya kepada media baru-baru ini.
Ketua Polis Negara itu mengakui pihak berkuasa itu "tersepit" di antara dua sistem undang-undang, iaitu undang-undang sivil dan syariah.
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa pihaknya juga tidak dapat berbuat apa-apa meskipun mendapat perintah mahkamah dan hanya terpaksa berdiam diri sekiranya mereka dipersalah atau dihina oleh mana-mana pihak.
"Saya telah membuat pendirian dan polis akan berpegang dengan pendirian
itu. Saya tidak boleh berbuat apa-apa jika ada orang di luar sana yang
mencerca polis," jelasnya lagi.
Beberapa pihak baru-baru ini tampil mempersoal pihak berkuasa berkenaan kerana dikatakan tidak mengambil tindakan sewajarnya tentang hak penjagaan anak yang melibatkan ibu bapa yang memeluk Islam dan seumpamanya.
Kes berkenaan tercetus ekoran insiden seorang gadis Islam, Zarena Abdul Majid, yang dikatakan telah diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika cuba mengahwini kekasihnya yang beragama Hindu baru-baru ini. -KedahNews.com