Petaling Jaya - Pemimpin kontroversi Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mencabar Badrul Hisham Shaharin supaya
mengemukakan bukti berhubung dakwaan pembabitannya dalam politik wang
pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dibuat Badrul Hisham yang juga
dikenali sebagai Chegubard itu, calon Timbalan Presiden parti itu juga
pada masa sama mengakui dirinya menjadi mangsa 'politik iri hati' oleh
sebilangan kecil ahli parti.
"Buat masa ini tidak ada sebarang tuduhan (rasuah) terhadap saya.
"Yang ada hanyalah dakwaan yang semata-mata dakwaan. Sesiapa sahaja
boleh buat dakwaan, anda juga bebas untuk buat dakwaan terhadap saya
jika tak suka saya," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.
Malahan, Azmin turut mempersolkan kredibiliti pemimpin akar umbi seperti
Chegubard yang berterusan membuat dakwaan namun gagal mengemukakan
bukti kukuh.
"Ini sebuah parti reformasi dan sudah pasti kita ingin lihat setiap tindakan yang diambil mestilah telus dan jelas.
"Jika ada bantahan atau dakwaan, kemukakanlah bukti kepada pihak yang
bertanggungjawab untuk diambil tindakan lanjut...ikut saluran yang
betul," katanya.
Beliau mengulas mengenai dakwaan Chegubard menerusi aduan bertulisnya
kepada Lembaga Disiplin PKR bahawa seorang anggota dari kem Azmin cuba
menyogok Pengerusi Panel Bantahan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP),
Abdul Malek Hussin.
Chegubard yang digantung keahliannya mendakwa Abdul Malek menolak rasuah
yang diberi calon Naib Presiden, Dr Xavier Jayakumar dan 'bosnya'.
Menurut Chegubard, berdasarkan khabar angin, 'bos' yang dimaksudkan itu
berkemungkinan Azmin yang hampir pasti mempertahankan kerusi jawatan
kedua tertinggi parti pada pemilihan kali ini.
Mengulas lanjut, Azmin menegaskan beliau mengutuk sekeras-kerasnya
sebarang bentuk amalan rasuah, khususnya bagi membeli undi semata-mata
untuk mendapatkan jawatan dalam parti.
"Saya menolak keras amalan rasuah dalam parti dan sistem pentadbirannya.
Perkara ini menjadi dukungan parti ini dan saya sendiri," katanya.
Ditanya mengapa beliau seringkali menjadi mangsa pelbagai dakwaan liar
pada pemilihan kali ini, Azmin berkata: "Ini membuktikan saya masih
berkesan...masih memberi impak sama ada di dalam parti mahupun di luar.
"Sudah 15 tahun saya difitnah dengan pelbagai cara. Ini bukan perkara baharu bagi saya," katanya.
Sumber: Mstar