Preity Zinta Dakwa Dicabul Bekas Teman Lelaki


Mumbai, India, 15 Jun – Aktress terkenal Bollywood, Preity Zinta mendakwa telah dicabul dan didera oleh bekas teman lelakinya ketika mereka menyaksikan perlawanan kriket Liga Perdana India (IPL) pada 30 Mei yang lalu.

Pelakon tersebut mendakwa bekas kekasihnya yang juga seorang ahli perniagaan, Ness Wadia melakukan perkara tersebut setelah mereka dikatakan bertengkar pada hari kejadian yang dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Mumbai, Vijay Mane mengesahkan menerima aduan mengenai kejadian tersebut daripada pelakon itu.

"Wadia didakwa mengasarinya dan turut mengeluarkan kata-kata kesat selepas mereka berselisih pendapat ketika menyaksikan perlawanan di Stadium Wankhede," jelasnya kepada Media India.

Sementara itu, pelakon yang popular dengan filem Chori Chori Chupke Chupke turut memaklumkan kes berkenaan dalam akaun Twitternya.

Menurut Zinta, dia melakukan laporan tersebut adalah untuk mempertahankan diri dan bukan bertujuan untuk memalukan bekas teman lelakinya.


"Saya tidak berniat melukakan hati sesiapa tetapi tindakan ini adalah untuk melindungi dan mempertahankan hak saya," menurutnya, laporan dipetik dari AFP.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor